Monitor baharu mula muncul di pasaran yang menyokong kadar segar semula berbeza pada resolusi yang juga berbeza. Bagi memudahkan orang ramai memilih monitor komputer yang menepati keperluan peribadi, VESA memperkenalkan piawaian serta logo baharu untuk monitor dwi-mod ini.
Menerusi logo baharu, dua kadar segar semula dan resolusi ia disokong akan dipaparkan secara sebelah menyebelah bersama dengan penjenamaan VESA Certified AdaptiveSync Dual Mode. Kadar segar semula dipaparkan di atas manakala resolusinya pula di bahagian bawah. Monitor terawal yang menerima piawaian baharu ini ialah LG Ultra Gear 32GS95UE OLED yang dilancarkan beberapa minggu yang lalu. Dengan logo ini pengguna tidak lagi perlu mencari spesifikasi skrin yang agak sukar dilihat pada monitor dan juga kotak.