Carian
Clicks Memberikan Papan Kekunci BlackBerry Pada iPhone
January 5, 2024 Fahim Zahar

Sepanjang hidup saya yang meminati gajet dan pelbagai teknologi, sekali pun tidak pernah saya menggunakan telefon BlackBerry. Kali terakhir Amanz menguji peranti sebegini adalah 2018 dengan BlackBerry Key2 dan kali terakhir telefon sebegini dilancarkan adalah pada 2020 dengan F(x)tec Pro1-X. Terbaru, Clicks dilancarkan sebagai kerangka pelindung merangkap papan kekunci QWERTY fizikal untuk iPhone.

Penggunaan skrin sesentuh di hadapan mengubah kaedah pengguna menggunakan telefon pintar masing-masing. Clicks tidak mempunyai sebarang bateri kerana menggunakan iPhone sebagai sumber kuasa. Pasang sahaja kerangka ini pada iPhone dan ia terus boleh digunakan. Clicks mendakwa boleh membawakan pengalaman menaip kekunci fizikal yang memuaskan.

Bukan itu sahaja, Clicks turut dilengkapi lampu untuk membolehkan menaip dalam gelap. Memandangkan kerangka pelindung merangkap papan kekunci ini dibangunkan khas untuk iPhone, pintasan papan kekunci turut disokong melalui susun atur kekunci mirip MacBook termasuk kekunci command.

Clicks dibangunkan oleh Michael Fisher, pencipta kandungan dan hos saluran Mr. Mobile. Ia dijual pada harga $139 (~RM646) dengan pilihan warna BumbleBee atau London Sky. Buat masa ini ia terhad untuk iPhone 14 Pro Max, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max. Fisher menyatakan jika Clicks berjaya, model untuk peranti lain termasuk Android akan ditawarkan suatu hari nanti.

Komen