Carian
Oukitel Memperkenalkan Telefon Baharu Dengan Bateri 22,000mAh Bersama Speaker Dibelakang
January 6, 2024 Aman

Oukitel sedia menempa nama dalam arena peranti mudah-alih melalui penawaran sejumlah telefon pintar yang menyertakan bateri bersaiz “gedabak”. Terbaru, Oukitel hadir dengan Oukitel WP33 Pro yang menyertakan bateri bersaiz 22,000mAh bersama-sama dengannya.

Penyertaan bateri bersaiz besar ini turut menjadikan telefon ini lebih tebal – 27.2mm, dan membawa berat lebih setengah kilo, atau 577.5 gram. Ia mengambil masa sehingga 5 jam untuk mengecas penuh peranti ini – melalui sokongan pengecasan 33W.

Disamping itu, turut mencuri perhatian pada telefon pintar ini adalah sokongan speaker bersaiz besar yang diletakkan pada bahagian belakang telefon. Oukitel menyatakan speaker 5W ini mampu membawa kepada kekuatan maksimum 136dB padanya.

Dari segi spesifikasi, Oukitel WP33 Pro hadir dengan skrin 6.6-inci, dijana MediaTek Dimensity 6100+, memori 8GB RAM, dan storan 256GB berasaskan UFS 2.2.

Melengkapkan telefon pintar ini juga adalah kamera belakang 64-megapixel yang turut disertakan bersama sensor 20MP untuk rakaman malam, serta kamera makro 2MP. Untuk rakaman swafoto pula, ia hadir dengan sensor 32-megapixel.

Oukitel WP33 Pro ini dijual di China buat masa ini, pada harga $594, iaitu sekitar RM2769.

Komen