Carian
Acer Tawarkan Komputer Riba Dan Monitor Dengan Teknologi Skrin 3D SpatialLabs
January 8, 2024 Zamir Roslan

Acer turut mengembangkan penawaran produk dengan skrin 3D teknologi SpatialLabs mereka menerusi dua produk baharu di CES 2024. Kita mulakan dengan komputer riba Acer Aspire 3D 15 SpatialLabs Edition yang dilengkapi 15.6-inch UHD yang tidak memerlukan cermin mata khas untuk melihat kandungan 3D.

Skrin SpatialLabs dipadankan dengan cip Intel Core i7-13620H, GPU NVIDIA GeForce RTX 4050, memori 32GB DDR5 RAM dan storan 2TB SSD. Pandangan 3D spatial boleh digunakan pada pelbagai perisian 3D, permainan video dan juga YouTube. Terdapat juga mod 2D sekiranya pemilik ingin melihat kandungan seperti komputer riba biasa.

Turut dilancarkan ialah monitor gaming Acer Predator SpatialLabs View 27 dengan saiz 27″ 4K dengan kadar segar semula 160Hz. Monitor ini juga tidak memerlukan cermin mata khas untuk melihat kandungan 3D spatial. Sokongan AMD FreeSync dan NVIDIA G-SYNC juga diberikan bagi memastikan grafik permainan video tidak akan mempunyai isu skrin terkoyak.

Tidak berakhir di situ, audio 3D spatial juga disokong menerusi dua speaker 2.5W yang diletakkan di bahagian hadapan. Kepala pemain akan dijejak sepanjang masa bagi menawarkan audio spatial yang tepat sepanjang masa. Acer Aspire 3D 15 SpatialLabs Edition (A3D15-71GM) akan dijual bermula Mac pada harga $1400 (~RM6506) dan Acer Predator SpatialLabs View 27 pula akan dijual pada Q1 pada harga $1999 (~RM9290).

Komen