Sejak tahun lepas lagi, banyak telefon pintar dilancarkan dengan sokongan WiFi 7 tetapi penghala untuk sokongan sambungan WiFi baharu ini masih tidak wujud. Di acara CES 2024 awal pagi ini, Acer mengumumkan dua penghala yang menyokongnya dengan teknologi Qualcomm.
Predator Connect X7 5G CPE
Penghala ini menyokong kad SIM untuk sambungan 5G yang boleh mencapai kelajuan 3.5 Gbps. Bukan itu sahaja, Connect X7 ini turut menyokong tri-band WiFi 7 BE11000 yang menjanjikan sambungan sela masa serendah mencapai 1ms. Connect X7 turut berfungsi sebagai penghala mesh dan ia memberi kebebasan kepada pengguna sama ada ingin menggunakan WiFi 7 dengan 5G atau sambungan Ethernet. Penghala ini turut mempunyai sistem keselamatan agar masalah sambungan terputus tidak berlaku.
Predator Connect T7 Wi-Fi 7 Mesh Router
Penghala ini turut menggunakan teknologi yang sama iaitu jenis mesh, WiFi 7 tri-band tetapi ia tidak mempunyai sokongan 5G. Sebaliknya Acer menyertakan ciri High-Band Multi-Link Simultaneous yang membolehkan banyak Connect T7 dihubungkan antara satu sama lain untuk liputan yang lebih luas dan stabil.
Selain menggunakan cip empat-teras daripada Qualcomm Immersive Home Platform, keedua-dua penghala ini turut hadir dengan teknologi Intel Killer Prioritization Engine untuk pengesanan data pada rangkaian dan menguruskannya mengikut aktiviti pengguna seperti bermain permainan video, melayari web atau menjalankan aplikasi produktiviti.
Memandangkan penghala ini adalah produk Predator, ia turut tidak lupa menyertakan sokongan RGB pada bahagian atas serta satu jalur LED kecil di bahagian hadapan. Pengguna turut boleh mengawal kedua-dua Connect X7 dan T7 melalui aplikasi Acer Predator Connect. Demi keselamatan pengguna, Acer turut menyertakan enjin Trend Micro Home Network Security untuk memastikan sambungan Internet pengguna tidak diganggu.
Ketika artikel ini ditulis, Acer masih tidak menyenaraikan harga jualan dan tarikh jualan. Kehadiran untuk pasaran tempatan juga masih tidak disahkan buat masa ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut penghala WiFi 7 ini.