Carian
Operasi Boeing 737 Max 9 Digantung
January 8, 2024 Effi Saharudin

Operasi penerbangan pesawat Boeing 737 Max 9 digantung di seluruh dunia selepas arahan dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA). Arahan dikeluarkan selepas insiden pintu kecemasan pada sebuah 737 Max 9 tercabut pada pesawat Alaska Airlines dalam perjalanan dari Portland ke Ontario Jumaat lalu.

Pesawat berjaya melakukan pendaratan kecemasan tanpa sebarang kehilangan nyawa. Arahan FAA ini menyebabkan operasi kesemua 171 Boeing 737 Max 9 seluruh tidak lagi boleh digunakan selagi siasatan punca nahas berlaku dapat ditentukan. Insiden melibatkan Alaska Airlines adalah yang ketiga berprofil tinggi melibatkan keluarga Boeing 737 Max.

Sebelum ini kesemua siri 737 Max digantung operasi selama 20 bulan selepas kemalangan maut melibatkan Lion Air 610 dan Ethiopian Airlines 302 yang mengorbankan 346 penumpang serta anak kapal. Isu dengan sistem MCAS menyebabkan kedua-dua pesawat ini menjunam sehingga juruterbang tidak boleh mengawalnya. Kebenaran terbang semula diberikan pada November 2020 dengan Boeing perlu membayar denda melebihi $2 Bilion kerana pelbagai isu pada pesawat yang ditemukan oleh penyiasat.

Komen