Carian
Peguam DS Najib Mohon Dokumentari 1MDB Ditarik Daripada Netflix
January 8, 2024 Effi Saharudin

Peguam mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon supaya dokumentari Man on The Run ditarik tayangannya daripada Netflix. Walaupun subjek utama dokumentari ini ialah Jho Low, beliau mendakwa kandungan dokumentari adalah sub judis dan menghina Datuk Seri Najib yang sedang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan rasuah melibatkan 1MDB.

Man on The Run telah ditayangkan di Netflix sejak 5 Januari lalu. Menurut Tan Sir Shafee, beliau menemukan 160 kenyataan di dalam dokumentari yang berunsur penghinaan terhadap anak guam beliau. Oleh itu beliau turut akan memohon kepada peguam negara, SKMM serta KDN supaya menarik akses tayangan dokumentari ini.

Pada waktu yang sama beliau telah diarahkan oleh anak guam untuk memfailkan saman ke atas bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas dan pemilik Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang mengeluarkan beberapa kenyataan dalam dokumentari yang sama. Sejurus selepas ditayangkan di Netflix, Man on The Run memasuki carta antara 10 kandungan dengan tontonan tertinggi di Malaysia.

Komen