Cari @ Amanz

Garmin Lily 2 dilancarkan secara rasmi sebagai tambahan baharu untuk jam tangan pintar wanita. Ia menampilkan reka bentuk anggun yang boleh didapati dalam dua model iaitu Garmin Lily 2 dan Lily 2 Classic. Satu-satunya perbezaan antara peranti adalah pada fungsi GarminPay yang terdapat pada versi Classic.

Tubuh sebesar 25.4mm yang digunakan lebih kecil berbanding 34.5mm pada generasi sebelum. Ia juga mempunyai skrin beresolusi 240 x 201 piksel yang dilindungi Corning Gorilla Glass 3. Diikuti pula pilihan tali sejenis kulit, nilon dan silikon yang boleh ditukar ganti dengan mudah.

Turut disertakan ialah ciri kesihatan dan kecergasan standard yang termasuk pemantauan kadar degupan jantung. Pelbagai aktiviti sukan seperti tarian, larian, berenang, berjalan dan berbasikal boleh dilakukan melalui mod sukan terbina. Pada masa sama disertakan juga GPS untuk mendapatkan data lokasi.

Peranti boleh bertahan sehingga lima hari dengan sekali pengecasan penuh, di samping kalis air 5ATM. Garmin Lily 2 dijual pada $249 (~RM1,157), semetara itu versi Classic pula berharga $299 (~RM1,390).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd