Carian
Sony Perlihat Set Kepala XR Untuk Menghasilkan Kandungan 3D
January 9, 2024 Effi Saharudin

Di CES Sony telah memperlihatkan set kepala realiti gabungan (XR) yang direka khusus untuk menghasilkan kandungan 3D. Set kepala ini dilengkapi cip Snapdragon XR2+ Gen 2 serta skrin 4K OLED di bahagian dalam. Turut dapat dilihat ialah enam sensor dan kamera di bahagian luaran set kepala untuk memberikan mod tembus serta menjejak pergerakan dua alat kawalan yang digunakan.

Alat kawalan untuk kepala ini agak unik kerana ia adalah seperti alat kawalan permainan VR biasa pada sebelah kanan dan sebuah lagi dalam bentuk cincin yang dipakai pada jari. Dalam demo yang ditunjukkan di CES, alat kawalan sebelah kanan digunakan untuk kawalan lebih jitu manakala alat kawalan cincin pula digunakan untuk memanipulasi objek.

Menurut Sony set kepala ini akan memudahkan pengkarya menghasilkan kandungan 3D dengan mereka boleh bergerak mengelilingi objek dalam dunia XR. Di peringkat awal mereka melalukan kerjasama dengan Siemens bagi menyokong perisian NX Immersive Designer. Set kepala ini akan mula dijual tahun ini tetapi harga belum diumumkan.

Komen