Carian
Samsung Memperlihatkan Teknologi AI Yang Digunakan Pada Peralatan Rumah Dan Kenderaan
January 9, 2024 Effi Saharudin

Tahun 2023 ialah tahun kecerdasan buatan (AI) generatif mula digunakan secara menyeluruh. Tahun 2024 akan melihat penggunaan AI pada pelbagai peranti elektronik dan kelengkapan rumah yang berhubung antara satu sama lain. Di CES, Samsung mengadakan acara AI for All bagi berkongsi maklumat lebih lanjut mengenai penggunaan AI pada keseluruhan ekosistem mereka.

AI akan digunakan pada televisyen Neo QLED 8K terkini mereka yang dilengkapi cip NQ8 AI Gen 3 yang mempunyai kemampuan AI lapan kali ganda lebih baik berbanding cip terdahulu. Ini membolehkan proses meningkatkan kualiti video ke 8K dengan lebih baik dan pantas. Selain itu kini terdapat fungsi TV boleh memahami arahan gestur tangan yang digunakan oleh pemilik bersama dengan ciri menghasilkan sari kata secara automatik berdasarkan audio yang dimainkan bagi membantu golongan OKU pendengaran.

Selain itu AI Family Hub+ turut digunakan pada peti sejuk Bespoke 4-Door Flex yang dilengkapi skrin 32″ sesentuh di bahagian pintu. Kamera pada bahagian dalam boleh mengenalpasti sehingga 33 jenis makanan sebelum menawarkan resipi kepada pemilik. Peringatan mengenai tarikh luput makanan juga boleh diberikan.

Apabila dipadankan dengan dapur The Anyplace Induction pula, resipi daripada peti sejuk boleh dipaparkan pada skrin 7″ terbina di permukaan dapur ini supaya pemilik boleh memasak dengan lebih mudah. Sisten pintar yang sama turut diperkenalkan pada Bespoke AI Laundry Combo yang terdiri daripada mesin basuh dan pengering yang mempelajari tabiat pemilik.

Samsung SmartThings juga kini serasi digunakan pada kereta keluaran Hyundai, Kia, dan Genesis. Peranti internet benda di rumah boleh dikawal terus menerusi sistem skrin sesentuh kenderaan. Sebagai contoh pendingin hawa boleh diprogramkan untuk dihidupkan sejurus selepas mengesan kenderaan memasuki tempat letak kereta. Dengan era AI bermula di kelengkapan rumah Samsung, langkah seterusnya ialah memperkenalkannya pula pada telefon pintar di bawah payung Galaxy AI yang akan berlangsung minggu depan.

Komen