Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kini mengumumkan tiada lagi caj tambahan untuk perkhidmatan 5G. Ini bermakna pengguna yang sedia melanggan pelan pascabayar atau prabayar boleh dapat mengakses perkhidmatan 5G tanpa perlu membeli sebarang pas tambahan.
Dengan langkah ini juga, para pengguna diajak untuk mula menggunakan perkhidmatan 5G – sekaligus meningkatkan lagi peratusan penggunaan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Daripada semakan kami, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis yang telah menukar pas 5G kepada percuma, sementara Yoodo masih melabelkan ia perlu ditambah pada harga tambahan. Perkara ini mungkin berubah dalam beberapa hari lagi tetapi tiada maklumat sama ada syarikat telko akan memberikan rebat kepada pengguna yang telahpun melakukan pembayaran untuk 5G sebelum ini.
Sebelum ini Fahmi Fadzil telahpun mengatakan kerajaan akan mengenakan tindakan ke atas syarikat telko yang mengenakan bayaran tambahan untuk mengakses 5G. Ini adalah kerana infrastruktur DNB menggunakan dana awam maka mengenakan lagi bayaran kepada pelanggan adalah tidak wajar.