CelcomDigi kini mengemaskini halaman rasmi mereka, sekaligus mengacah penawaran melibatkan arena motosikal elektrik. Melalui mesej yang dipaparkan pada laman berkenaan, CelcomDigi mengatakan akan berkongsi lanjut berkenaan dengan hal ini pada Januari 2024 ini.
Untuk makluman, pihak CelcomDigi sedia bekerjasama dengan Yinson pada September 2023 lepas, dengan fokus terhadap ekosistem kenderaan elektrik. Ketika itu, kerjasama adalah lebih memfokuskan kepada penggunaan rangkaian CelcomDigi untuk menguasakan kesalinghubungan ChargeEV.
Disamping itu, kerjasama tersebut juga turut diperluaskan untuk meliputi rydeEV dan juga driveEV. Untuk makluman, rydeEV merupakan perkhidmatan melibatkan motosikal elektrik – dimana pengguna boleh membeli motosikal elektrik serta menggunakan langganan bateri berbentuk boleh-ganti untuk menguasakannya. Dibawah penawaran rydeEV, pengguna boleh mendapatkan motosikal elektrik pada harga bermula RM299 sebulan.
Ia tidak diketahui lagi bagaimanakah kerjasama dan penawaran rydeEV bersama CelcomDigi kelak. Dengan perkongsian imej acah ini, sama-sama kita nantikan apakah gergasi telekomunikasi Malaysia ini akan umumkan dalam arena motosikal elektrik.