Razer melancarkan barisan komputer riba gaming Blade baharu di CES 2024. Tiga model disediakan iaitu 14, 16 dan 18 inci yang menerima naik taraf menarik dalam aspek teknologi paparan, prestasi, dan AI.
Keutamaan diberikan kepada Razer Blade 16 yang dilengkapi paparan OLED QHD+ (2560×1600) 240Hz dengan masa tindak balas 0.2ms. Katanya paparan ini dibuat dengan kerjasama Samsung, selain turut melepasi Calman Verified untuk kualiti warna sangat baik sama ada secara lalai atau ditentukur (calibrated).
Ia ditambahbaik lagi dengan sokongan pensijilan VESA ClearMR 11000 dan DisplayHDR True Black 500 pula untuk paparan yang jelas. Razer Blade 16 juga ditawarkan dalam pilihan papara Dual Mode Mini-LED yang boleh bertukar diantara resolusi UDH+ 120HZ dan FHD+ 240Hz dengan mudah.

Seterusnya CPU Intel Core i9-14900HX dan GPU sehingga VIDIA GeForce RTX 4060 digunakan bersama teknologi DLSS 3.5. Pilihan memori pula sehingga 16GB RAM dan storan 1TB SSD, dalam masa sama juga dimuatkan sistem penyejukan wap yang dibangunkan Razer untuk aliran haba yang baik.

Seterusnya Razer Blade 14 pula dikemaskini dengan pemproses AMD Ryzen 9 8945HS dan GPU sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 dengan 140W TGP. Ini diikuti juga dengan paparan QHD+ 240Hz bernisbah aspek 16:10 yang melepasi Calman Verified untuk kualiti warna lebih baik. Pengalaman bertambah baik dengan sokongan memori DDR5 yang boleh dinaik taraf dan pilihan sambungan terkini termasuk USB4 dan Wi-Fi 7 turut diberikan. Jangka hayat bateri juga lebih baik yang didakwa boleh beroperasi mencapai 10 jam.

Beralih ke Razer Blade 18 (2024) pula nampaknya tidak banyak butiran yang didedahkan setakat ini. Jenama itu hanya memberi gambaran bahawa ia boleh dilengkapi paparan 18″ 4K dan kadar segar semula 165Hz. Dalam masa sama memuatkan port ThunderBolt 5 dikatakan mampu menyokong pengecasan 240W, pemindahan data 120Gbps, dan video kadar segar semula sehingga 540Hz.
Perlu dimaklumkan bahawa kesemua komputer riba gaming ini dilengkapi sistem lampu RGB tersendiri Razar Chroma. Di samping diberi 1 bulan Xbox Game Pass Ultimate, memberikan pemain akses kepada beratus-ratus permainan berkualiti tinggi pada PC, konsol dan permainan awan.
- Sumber – Razer Newsroom