Jika anda melihat dalam buku teks hari ini, planet Uranus akan kelihatan kelabu kebiruan sementara Neptun pula dalam warna biru yang terang. Namun begitu saintis daripada University of Oxford mengeluarkan kajian terkini yang mendedahkan ini bukanlah warna sebenar kedua-dua planet dalam sistem solar kita.

Sebaliknya warna sebenar Uranus dan Neptun adalah sama iaitu biru kehijauan. Kesilapan warna kedua-dua planet berlaku kerana ketika gambar planet-planet ini diambil oleh proba Voyager 2 berpuluh tahun yang lalu, ia tidak menggunakan penentukuran warna yang betul. Selepas gambar komposit digabungkan, ia menghasilkan warna yang lebih terang dan kebiruan berbanding warna sebenar.
Bagi mendapatkan warna sebenar, saintis menggunakan data spektrograf yang diambil oleh teleskop angkasa lepas Hubble dan European Southern Observatory’s Very Large Telescope. Dengan data yang lebih tepat, warna sebenar kini akhirnya dapat dihasilkan. Yang membezakan kedua-dua planet ialah Neptun adalah sedikit lebih biru berbanding Uranus.