Cari @ Amanz

Satu persoalan yang muncul dalam fikiran saya sekarang adalah, kenapa ramai di antara kita lebih memilih untuk membeli TV berbanding projektor? Jika anda sedang dalam perancangan untuk berpindah dari rumah sekarang, kami sarankan untuk anda membeli projektor berbanding TV. Jika anda tertanya-tanya tentang “kenapa?”, ini adalah sebabnya.

1. Rekaannya Lebih Menjimatkan Ruang

Sedar ataupun tidak, kebiasaannya tempat meletak TV di ruang tamu anda memakan hampir 1 per 3 daripada ruang tamu anda. Ini termasuklah dari segi saiz ketebalan meja dan saiz TV itu sendiri yang biasanya sekarang adalah sebesar 43 inci keatas. Dengan saiz sebesar ini, tentunya ia akan memakan ruang dan akan mengehadkan anda untuk menghias dinding seperti menggantung bingkai gambar dan sebagainya. Oleh sebab itulah penawaran projektor, terutamanya daripada Epson ini sedikit sebanyak membantu untuk menjadikan ruang tamu lebih luas.

Anda hanya perlukan meja yang kecil sahaja untuk letakkan projektor dan ini sekaligus boleh menampakkan ruang tamu anda lebih minimalis. Antara projektor yang anda boleh pertimbangkan untuk di letakkan di ruang tamu adalah seperti EpiqVision Ultra EH-LS800B yang merupakan projektor dengan kebolehan pancaran pada jarak yang paling pendek di dunia hari ini. Walaupun sekadar projektor, anda masih lagi boleh menonton tayangan pada resolusi yang tajam.

2. Paparannya Lebih Besar Dan Fleksibel Mengikut Saiz Yang Anda Mahu

Tetapi, bagaimana jika TV itu sebenarnya tidak sesuai dengan dekorasi ruang tamu kita? Maksud kami disini adalah jika ruang tamu anda luas dan saiz TV anda kecil, bukankah ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengalaman tontonan anda kerana saiznya yang lebih kecil? Jika kita membeli TV pintar, kita hanya boleh mengubah resolusi paparannya sahaja, dan bukan saiz paparan. Ini bermakna anda perlu bertukar kepada TV yang lain jika inginkan saiz paparan yang lebih besar. Bukankah itu satu pembaziran?

Oleh sebab itulah anda perlu mempertimbangkan untuk membeli projektor kerana paparan daripada projektor adalah fleksibel, boleh diubah-ubah mengikut saiz paparan yang anda inginkan. Jadi, jika ruang tamu lebih luas, saiz paparan juga boleh diubah menjadi lebih besar. Contohnya, dengan EpiqVision Ultra EH-LS800B daripada Epson, anda boleh mengubah saiz paparan sehingga ke 150 inci. Ia juga dilengkapi dengan sistem operasi Android TV, pembesar suara YAMAHA dan paparannya adalah beresolusi 4K Pro-UHD.

Jika rumah anda mempunyai bilik khusus hanya untuk menonton TV pula, kami syorkan untuk anda membeli Home Theatre EH-LS12000B daripada Epson. Melaluinya, anda boleh menikmati paparan yang lebih besar, iaitu 100 inci sehinggalah 500 inci dan dalam masa yang sama masih mengekalkan resolusinya iaitu 4K dan paparan yang dihasilkan masih tajam tanpa kompromikan kualiti dan kecerahan tayangan yang anda ingin tonton. Lebih jauh peranti, lebih cantik kualiti visualnya.

Sekiranya anda seorang yang mementingkan kualiti audio pula, antara pilihan projektor yang lain adalah Epson EpiqVision Min EF-12 yang didatangkan sekali bersama pembesar suara daripada YAMAHA. Melalui teknologi DSP AudioEngine, anda boleh dapatkan pengalaman tontonan dan paparan yang lebih mengasyikkan dengan sokongan audio yang lebih sedap didengar dan tidak bingit. Menurut Epson, dengan sokongan ini pada projektor mereka, ia sedikit sebanyak membantu anda untuk dapatkan pengalaman tontonan yang lebih premium dan mengasyikkan tanpa kos tambahan untuk saiz paparan yang lebih besar. Anda juga boleh jimatkan duit tiket wayang anda kerana pengalaman wayang ini juga boleh didapati di rumah sahaja melalui projektor Epson ini.

Jika anda masih lagi mencari sebab lain kenapa anda perlu membeli projektor berbanding TV, ini adalah sebab seterusnya. Kalau anda sedar, TV biasanya akan memancarkan cahaya terus kepada mata anda dan ini berpotensi membuatkan mata anda berasa cepat letih. Tetapi, tidak bagi projektor kerana peranti ini hanya memantulkan semula sahaja cahaya dan paparkan pantulan cahaya tersebut ke arah dinding paparan. Walaupun ia merupakan pantulan cahaya sahaja, anda tidak perlu risau tentang kualiti yang dipaparkan kerana projektor daripada Epson mampu memaparkan tayangan dengan resolusi dan pewarnaan yang lebih baik dan tajam. Jadi ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebarangkalian mata anda berasa cepat letih apabila menonton terlalu lama.

3. Anda Boleh Pilih Apa Yang Anda Mahu Tonton

Untuk pengetahuan anda, projektor daripada Epson ini bukan sekadar projektor biasa. Ia juga dilengkapi sistem operasi Android TV dan juga alat kawalan yang mudah untuk digunakan. Jadi apabila kita bercakap tentang Android TV, ini bermaksud kita boleh gunakannya seperti TV biasa dan mempunyai kebebasan untuk menonton kandungan apa yang kita inginkan. Kandungan yang boleh ditonton ini termasuk aplikasi terbina dalam projektor, YouTube atau aplikasi penstriman lain yang anda boleh muat turun sendiri daripada Google Play. Hanya perlu sambungkan projektor anda dengan Wi-Fi dan anda sudah boleh menonton tayangan video, macam di TV biasa. Cuma kelebihannya di sini adalah anda boleh menonton rancangan yang anda mahu pada paparan yang lebih besar.

4. Projektor Ialah Seperti TV Tetapi Versi Mudah Alih

Kadang kala kita akan berada dalam situasi dimana kita hendak menonton TV tapi dalam keadaan yang lebih santai tanpa perlu menongkat dagu di atas sofa. Mungkin tonton sambil baring di atas katil? Tetapi sayangnya TV kita berada di ruang tamu dan ia berat untuk diubah-ubah kedudukannya. Ditambah pula jika TV itu bersaiz 50 inci. Memang perlukan 2 orang untuk mengubahnya masuk ke dalam bilik. Jadi, kelebihan seterusnya tentang kenapa anda perlukan projektor adalah tentunya dari segi kebolehannya untuk mudah alih.

Melalui projektor, anda boleh mengangkat masuk projektor yang anda letak di ruang tamu ke dalam bilik dengan mudah. Malah kalau dibawa kemana-mana pun tidak ada masalah untuknya. Jika anda mencari projektor yang ringan dan mudah untuk dibawa kemana-mana, anda boleh letakkan CO-FH02 Smart Projector dalam senarai pembelian. Beratnya hanyalah 2.6kg sahaja, sangat kompak dan mudah untuk dibawa kemana-mana. Pilihan lain yang anda boleh pertimbangkan adalah Epson EpiqVision Mini EF-12 yang membolehkan anda untuk menonton tayangan di siling bilik tidur dan ini membolehkan anda untuk menonton sambil baring di atas katil dengan selesa.

5. Mudah Untuk Dipasang Dan Ditetapkan

Akhir sekali adalah dari segi cara tetapannya. Anda hanya memerlukan kurang daripada 10 minit untuk membuat tetapan bagi projektor. Anda cuma perlu letakkannya di permukaan rata dan laraskan paparannya mengikut saiz yang anda mahukan. Katakanlah anda ingin membeli EpiqVision Ultra EH-LS800B, proses untuk memasangnya sangatlah mudah kerana ia dilengkapi dengan ciri Auto Installation. Jadi, anda hanya perlu pasangkan plug, dan tidak perlu lakukan tetapan tambahan lain seperti menjadikan paparannya lebih tajam dan membetulkan herotan trapezoid seperti projektor yang biasa, kerana ciri yang ada pada projektor Epson ini mampu membuat tetapannya sendiri. Jadi lebih mudah dan menjimatkan masa.

Kesimpulan

Projektor-projektor daripada Epson ini bukanlah sekadar mesin yang hanya memantulkan cahaya untuk paparan yang lebih besar. Projektor mereka juga mampu untuk membawa kita ke dimensi hiburan yang lebih mengasyikkan. Bukan sekadar mampu untuk memberikan kualiti paparan yang baik, tetapi audio yang dikeluarkan juga sedap untuk didengar. Memang sesuai untuk anda yang inginkan fleksibiliti dari segi saiz paparan dan mudah untuk dibawa kemana-mana. Jadi, jika anda sedang mencari projektor yang tidak akan mengecewakan pengalaman tontonan anda, Epson adalah jenama yang boleh pertimbangkan. Beli projektor daripada Epson sekarang bersama “popcorn” dan anda kini sudah boleh nikmati pengalaman tontonan seakan-akan di panggung wayang hanya di rumah anda. 

Penafian : Advertorial Daripada Epson Malaysia

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd