Cari @ Amanz

Redmi sudah mula ingin mencabar peranti kelas pertengahan premium Oppo, vivo dan realme dengan peranti baharu berharga sehingga RM1,999. Ini kerana Redmi Note 13 Pro+ 5G adalah peranti mereka dalam kelas ini yang paling premium, hebat, berkuasa dan boleh menjadi peranti dengan nilai terbaik. Dalam ulasan ini akan saya kongsi pengalaman menggunakan peranti ini untuk beberapa minggu.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Redmi Note 13 Pro+ 5G
Skrin6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K,
120Hz, 1800 nits, Dollby Vision,
Gorilla Glass Victus
PemprosesDimensity 7200-Ultra (4nm)
Cip2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikMali-G610 MC4
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama200 MP, OIS, f/1.65 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Depan16 MP, f/2.5
Bateri5000 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanRM1599 (8/256 GB)
RM1999 (12/512 GB)

Redmi Note 13 Pro+ 5G sekali tengok kelihatan lebih kurang sama dengan model-model lama. Tetapi panel belakang peranti ini memberikan nilai tambahan premium kepadanya. Jika anda lihat dengan teliti ia menggunakan warna dwi-tona dengan bahagian atas ada corak grid yang menjadikannya lebih kemas. Kemudian skrin hadapan yang melengkung seakan sebuah peranti mercu.

Di atas masih rata dengan sensor infra merah, lubang mikrofon, kekisi speaker dengan di bawah juga rata menyertakan slot kad SIM, satu lagi kekisi speaker, lubang mikrofon dan juga port USB-C. Di sisi kanan tiada apa-apa, tetapi di sisi kiri terdapat butang kuasa dan butang laras suara. Note 13 Pro+ juga dibina dengan cukup nipis dan mudah untuk dikendalikan dengan satu tangan.

SKRIN

Sudah bertahun lamanya Xiaomi, Redmi dan Poco menggunakan panel skrin OLED bersaiz 6.67-inci. Membezakan pada Redmi Note 13 Pro+ 5G adalah panel skrin yang melengkung, beresolusi 1.5K dan menyokong kadar segar semula 120Hz AdaptiveSync yang berubah antara 60Hz, 90Hz atau 120Hz mengikut kandungan. Skrin turut menyokong paparan Dolby Vision yang memberikan warna yang cantik, terang dan sedap mata memandang.

Memandangkan Note 13 Pro+ adalah peranti kelas pertengahan, tiada LTPO saya boleh maafkan. Tetapi apa yang saya tidak boleh maafkan adalah AdaptiveSync tidak berfungsi dengan konsisten kerana saya kerap menerima kadar segar semula 60Hz. Bonus tambahan di sini adalah skrin turut dilindungi dengan Gorilla Glass Victus untuk memberi ketahanan tambahan. Jika tidak cukup dengan itu, Redmi Note 13 Pro+ 5G ini turut mempunyai perlindungan IP68.

SISTEM BIOMETRI

Pengeluar peranti nampaknya sudah selesa dengan sensor optikal berbanding ultrasonik untuk pengimbas cap jari bawah skrin. Sensor pada Redmi baharu ini cukup pantas walaupun jari basah atau kotor. Paling memudahkan adalah AI Face Unlock yang menggunakan kamera swafoto dengan pantas untuk mengecam wajah pemilik peranti.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN – MIUI 14, Android 13

Sejak kebelakangan ini, Xiaomi benar-benar mengubah MIUI untuk menjadi sistem operasi yang terbaik. MIUI 14 adalah generasi terakhir kerana mereka kini sudah beralih ke HyperOS, dukacita dimaklumkan Redmi Note 13 Pro+ 5G masih lagi menjalankan MIUI 14 dan bukannya Xiaomi HyperOS seperti Poco X6 Pro yang baru dilancarkan.

Ini tidak menjadi masalah jika MIUI 14 adalah iterasi yang terbaik. Menjadi masalah pertama adalah ia masih berasaskan Android 13 bukannya Android 14. Kemudian masalah kedua adalah ia dipenuhi dengan iklan yang melampau. Iklan yang saya tidak boleh maafkan adalah pada Game Turbo yang walaupun saya sudah matikan ciri mencadangkan kandungan, iklan berbentuk video akan dipaparkan terlebih dahulu pada Game Turbo sebelum mod permua ini boleh digunakan.

Lain-lain ciri MIUI 14 yang sudah ada lama pada kebanyakan peranti Xiaomi, Redmi dan Poco sejak tahun 2022 masih dikekalkan. Contohnya adalah pengimbas nadi yang menggunakan imbasan jari, Memory Extension untuk memori maya, atau juga aplikasi sekuriti untuk menguruskan peranti secara lebih mendalam.

Satu perkara yang saya mengharapkan Xiaomi boleh lakukan perubahan adalah kustomasi. Berikan pengguna kawalan kustomasi Android stok dan bukannya bergantung kepada gedung tema tersendiri. Saya kurang gemar untuk menukar nada dering atau gambar latar perlu masuk ke aplikasi pihak ketiga yang banyak iklan.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS – Dimensity 7200-Ultra

MIUI 14 tidak membenarkan ujian penanda aras 3DMark dilakukan. Jadi untuk ujian pada Note 13 Pro+ ini saya hanya menggunakan AnTuTu 3D dan Geekbench 6. Saya bandingkan pula dengan Oppo Reno11 5G, antara peranti dalam kelas sama tahun ini serta dengan realme GT3 240W yang lebih mahal untuk anda membandingkan nilai terbaik.

Skor yang Redmi Note 13 Pro+ catatkan agak memberangsangkan. Ia mungkin tidak boleh lagi bersaing dengan Snapdragon 8 Gen 1, tetapi sudah cukup tinggi untuk kelasnya. Peranti tidak memanas ketika ujian dilakukan dan sepanjang penggunaan peranti juga tidak tergendala dan boleh beroperasi dengan lancar.

Geekbench 6

  • Redmi Note 13 Pro+ 5G 1127/2658
  • Oppo Reno11 Pro 5G – 934/3389
  • realme GT3 240W – 2071/5032

Antutu 3D

  • Redmi Note 13 Pro+ 5G 757,180
  • Oppo Reno11 Pro 5G – 937,938
  • realme GT3 240W – 1,249,785

Memori maya 8GB yang menjadikan jumlah RAM pada peranti adalah 20GB tidak dinafikan membantu sedikit. Lagi-lagi untuk pengguna seperti saya yang mengunci beberapa aplikasi di latar agar ia sentiasa berjalan. Permua juga tiada masalah untuk dimainkan pada tetapan grafik paling tinggi seperti COD Mobile. Permua ringan seperti Marvel Snap dan Monopoly Go turut membenarkan saya bermain sehingga berjam-jam lamanya sepuas mungkin.

TELEFONI DAN GPS

Jika selama ini anda katakan peranti Redmi atau Poco ada masalah tarik line, saya tidak alami masalah ini pada peranti ini selain masalah sambungan 4G+ yang lemah. Sambungan WiFi tiada masalah, panggilan telefon juga jelas dan GPS juga mampu mengunci lokasi dengan pantas tanpa sebarang isu.

KAMERA

Peranti Redmi paling premium jarang mengecewakan lagi-lagi bab kamera. Untuk generasi baharu ini Redmi Note 13 Pro+ 5G dilengkapi dengan kamera 200MP + 8MP + 2MP dengan kamera swafoto 16MP. Aplikasi kamera pula direka agar mirip aplikasi kamera Xiaomi yang ada Leica. Ini membolehkan pengguna mengalami pengalaman menggunakan kamera premium pada peranti yang lebih mampu milik.

Hasil 200MP yang Redmi bawakan ini adalah sangat bagus. Ia cukup tajam, sudah pangkas dengan Xiaomi ProCut juga imej masih boleh dijadikan gambar latar atau dijual sebagai imej stok. Peralihan ke sensor sudut ultra lebar juga masih cuba memelihara warna yang terbaik dan makro adalah kamera yang asal ada. Mod potret nampak baik, tetapi tidak konsisten dan mod malam pula berada di tahap yang boleh diterima. Jika Redmi boleh bawakan kamera Vivo V29, peranti ini pasti layak menjadi pembunuh peranti kelas pertengahan premium.

Mod 200MP yang memelihara butiran dengan baik serta warna yang cantik.
Ciri Xiaomi ProCut yang pangkas gambar secara automatik sambil memelihara butiran.
Mod potret tidak cukup kemas tetapi mencukupi untuk peranti dalam kelas ini.
Mod sudut ultra lebar yang cuba dengan baik membawakan profil warna sama dengan sensor utama.
Swafoto dengan cahaya matahari di luar tidak terlampau lembut.
Mod malam auto yang memelihara butiran tetapi mengorbankan warna.
Mod auto dengan HDR yang terbaik Redmi bolebh hasilkan setakat ini.
Zum digital 10 kali untuk peranti dalam kelas ini antara yang mengejutkan.
Mod auto subjek manusia di kawasan luar dengan warna dan fokus yang bagus.

AUDIO

Audio Dolby Atmos yang Redmi bawakan pada peranti premium mereka cukup seimbang. Speaker stereo pada peranti ini antara yang baik da memuaskan. Ia lebih baik berbanding RedMagic 9 Pro yang dijual pada harga 3x ganda lebih mahal. Speaker peranti ini sesuai untuk hiburan dan permainan yang pasti tidak mengecewakan.

BATERI

Biasa saya cakap kalau bateri tidak tahan tetapi ada pengecasan pantas boleh dimaafkan. Kes Redmi Note 13 Pro+ 5G ini sukar untuk saya maafkan walaupun sudah menyokong pengecasan pantas 120W. Bateri 5000mAh pada peranti hanya bertahan sekitar 5 jam SOT untuk penggunaan ringan dan sekitar 4 jam SOT untuk penggunaan berat.

Biasanya peranti di dalam kelas ini mampu bertahan sekitar 6-7 jam SOT. Ini mungkin kerana skrin 1.5K Dolby Vision dan 120Hz yang saya sentiasa gunakan. Saya juga banyak mengunci aplikasi di latar yang menjadi faktor bateri tidak tahan lama. Cuma saya mengharapkan Redmi boleh berikan ketahanan bateri yang lebih baik agar ia benar-benar menjadi peranti berbaloi dimiliki.

PESAING

Redmi Note 13 Pro+ 5GPoco X6 ProOppo Reno11 5G
6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K, 120Hz, 1800 nits,
Dollby Vision, Gorilla Glass Victus
6.67-inci CrystalRes AMOLED, 1.5K, 120Hz, 1800 nits,
Dollby Vision, Gorilla Glass 5
6.7-inci AMOLED, FHD+, 120Hz, 800 nits,
HDR10+, Asahi Glass AGC
Dimensity 7200-Ultra (4nm)
2x 2.8 GHz Cortex-A715
6x 2.0 GHz Cortex-A510
Dimensity 8300-Ultra (4nm)
4x 3.35GHz Coretx-A715
4x 2.2 GHz Cortex-A510
Dimensity 8200 (4nm)
1x Cortex-A78, 3.1GHz
3x Cortex-A78, 3.0GHz
4x Cortex-A55, 2.0GHz
Mali-G610 MC4Mali G615-MC6Mali-G610 MC6
8/12 GB LPDDR58/12 GB LPDRR5X12GB
256/512 GB UFS 3.1256/512 GB UFS 4.0512GB
Kamera Utama
200 MP, OIS, f/1.65 (Sudut Lebar)
8 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
64MP f/1.65, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
2MP f/2.4 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
32MP f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
8MP f/2.2 (Sudut Ultra Lebar)
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.5
Kamera Hadapan
16-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.4
IP68IP54Tiada
TiadaTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 120W)5000 mAh (Berwayar 67W)4600 mAh (Berwayar 80W)
RM1599 (8/256 GB)
RM1999 (12/512 GB)
RM1,499 (8/256 GB)
RM1,699 (12/512 GB)
RM2499 (12/512 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut adalah apa yang anda terima dengan setiap pembelian Redmi Note 13 Pro+ 5G;

  • 1x Redmi Note 13 Pro+ 5G.
  • 1x Pengecas 120W HyperCharge,
  • 1x Kabel A ke C.
  • 1x Kerangka pelindung silikon hitam tebal.
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

Redmi Note 13 Pro+ adalah peranti Redmi kegemaran saya setakat ini. Dengan harga RM1,999 untuk unit yang saya uji ini iaitu 12/512 GB yang membawakan memori 12+8 GB RAM, storan 512GB, kamera 200MP, pengecasan 120W, skrin OLED melengkung yang cantik lagi laju serta cip Dimensity 7200-Ultra yang elok – ini adalah peranti yang berbaloi dimiliki. Oh, ya tidak lupa juga yang peranti ini mempunyai perlindungan IP68. Jika Redmi kurangkan paparan iklan, Note 13 Pro+ boleh menjadi telefon pintar kelas pertengahan premium yang sempurna.

PRO

  • Skrin yang cantik, premium dan pantas.
  • Rekaan yang nipis serta nampak elegan.
  • Prestasi yang baik dan padat dengan ciri/fungsi berguna.
  • Kamera 200MP yang cukup berkualiti.
  • Speaker yang sedap didengari.
  • Ada IP68.

KONTRA

  • Perisian yang penuh dengan iklan menjengkelkan.
  • Skrin melengkung, bukannya rata.
  • Bateri yang tidak tahan seperti jangkaan.
  • Kustomasi bergantung pada gedung tema yang aneh.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd