DJI sudahpun menguasai pasaran dron rakaman video untuk orang ramai dan juga kegunaan profesional. Hari ini mereka memasuki arena dron penghantaran barangan pula selepas melancarkan DJI FlyCart 30. Dron dengan lapan kipas ini mempunyai rekaan seakan DJI Matrice tetapi mempunyai kapasiti membawa kargo sehingga 30 kilogram.

Setiap FlayCart 30 turut mempunyai kemampuan terbang sehingga 16 kilometer pada kelajuan maksimum 72 kmj. Menerusi mod kecemasan, ia boleh membawa kargo sehingga 40 kilogram tetapi jarak berkurangan ke 8 km sahaja. Ia turut melepasi piawaian IP55 serta boleh terbang sehingga ketinggian 6000 meter.
Terdapat dua mod operasi ia boleh digunakan. Mod kargo meletakkan kargo dalam tempat simpanan dengan kapasiti 70L di bahagian bawah dron. Mod win pula hadir dengan tali sepanjang 20 meter yang membolehkan kargo dinaik dan diturunkan tanpa dron mendarat terlebih dahulu.

Seperti kesemua dron DJI, FlyCart 30 dilengkapi pelbagai sensor bagi mengelakkan pelanggaran, sistem ADS-B bagi memberikan amaran kepada pesawat persekitaran dan turut dilengkapi payung terjun kecemasan sekiranya sistem mengalami kegagalan ketika beroperasi. Harga belum diumumkan lagi tetapi ia akan dipasarkan di China terlebih dahulu.