Cari @ Amanz

Sesi permainan video pada PC yang berkuasa adalah lebih afdal jika ia dipadankan pada monitor gaming premium. OMEN Transcend 32 UHD 240Hz OLED Gaming Monitor ialah monitor terkini yang dilengkapi panel 31.5″ QD-OLED dengan resolusi 4K, kadar segar semula 240Hz dan sokongan Dolby Vision. Di atas kertas ini ialah monitor gaming yang pasti menjadi idaman ramai.

Panel turut menyokong AMD FreeSync Premium Pro dan VESA AdaptiveSync bagi mengelakkan isu screen tearing ketika sesi permainan video. Keterangan boleh mencecah sehingga 1000 nits yang melepasi piawaian VESA DisplayHDR True Black 400.

Terdapat input HDMI 2.1, DisplayPort 2.1 dan juga USB-C. Jika komputer disambung kepada OMEN Transcend 32 menggunakan USB-C, ia boleh dicas pada waktu yang sama pada kuasa maksimum 140W. Selain itu terdapat juga beberapa port USB-A dan USB-C lengkap dengan sokongan KVM. Dengan ini aksesori papan kekunci dan tetikus yang disambungkan boleh digunakan rentas pelbagai peranti serentak dengan ia mengesan peranti aktif secara automatik.

Dari segi audio pula empat speaker 3W yang ditala HyperX disertakan yang adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding konfigurasi monitor biasa. Sebagai sebuah monitor OMEN, sistem lampu aRGB juga diletakkan di belakang yang boleh diubah warna oleh pemilik serta penyangkut untuk fon kepala. Harga dan bila OMEN Transcend 32 UHD 240Hz OLED Gaming Monitor belum diumumkan pada waktu ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd