Carian
Ulasan Oppo Reno11 Pro 5G – Tradisi Potret Diteruskan
January 11, 2024 Amy Maizuraa

Barisan telefon pintar siri Reno terkenal dengan kehebatan kamera yang mengkhususkan dalam fotografi potret. Tradisi ini diteruskan lagi pada generasi baharu siri Reno 11 yang juga meminjam sejumlah teknologi daripada siri Find X bertujuan menyediakan pengalaman lebih baik. Jadi bagaimana prestasi telefon baharu Reno ini khususnya versi Pro? Inilah pengalaman saya menggunakan peranti selama hampir dua minggu.


Spesifikasi

OPPO RENO11 PRO 5G
Skrin6.7” OLED 2.4K, Pro XDR
Warna 10-bit, 120Hz
PemprosesMediaTek Dimensity 8200
Cip1x Cortex-A78, 3.1GHz
3x Cortex-A78, 3.0GHz
4x Cortex-A55, 2.0GHz
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB RAM (+12GB RAM Maya)
Muatan Dalaman512GB ROM
Kamera Utama50MP Utama (Sony IMX890)
32MP Telefoto (Sony IMX709)
8MP Ultra-lebar (Sony IMX355)
Kamera Swafoto32MP (Lebar), AF
Bateri4,600mAh
Pengecasan Pantas 80W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCAda
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari & wajah
Harga JualanRM2499 (12/512 GB)

Reka Bentuk Fizikal

Tidak keterlaluan saya katakan bahawa konsep yang digunakan banyak persamaannya dengan generasi sebelum. Khususnya dalam aspek reka bentuk yang menyaksikan Oppo masih mengekalkan binaan yang nipis dan ringan pada telefon pintar ini.

Ini digabungkan juga dengan skrin hadapan yang melengkung pada kedua-dua sisi bersama lubang kecil di bahagian tengah. Di ruangan yang sama saiz bezel keempat-empat sisi juga hampir sama nipis menjadikannya nampak seimbang. Memang diakui sukar untuk saya membezakan antara kedua-dua generasi itu jika hanya dilihat daripada hadapan.

Tetapi situasi mula berubah apabila di pusing ke bahagian belakang yang mula menonjolkan sisi baru lebih segar dan elegan. Teknik penghasilan kemasan tahun ini diberikan nafas baharu dengan elemen lebih moden, dalam masa sama mampu mengekalkannya dalam kelas yang tersendiri. Dekorasinya sedap mata memandang dengan reka coraknya tertumpu kepada jenis abstrak.

Dua pilihan warna disediakan yang termasuk Pearl White seperti unit di dalam artikel ini. Ia boleh dikatakan koleksi paling unik dengan warna putih sebagai rona dominan yang kemudiannya digabungkan corak abstrak pada sudut tertentu untuk kesan lebih mewah. Melalui gabungan kedua-dua konsep itu memberi efek lebih menarik pada Reno11 Pro.

Terdapat perubahan ketara pada bonggol kamera yang kini lebih besar dan tebal. Ia dilihat mendominasi hampir 1/3 daripada panel belakang peranti. Jika diperhatikan dengan teliti kaca yang melindungi sensor peranti juga agak terkeluar sedikit daripada bonggol kamera utama. Kemasan bergerigi yang menghiasi sekeliling bonggol kamera juga mengingatkan saya pada bonggol kamera Oppo Find X6 Pro.

Akan tetapi terpulanglah kepada pendirian dan penerimaan masing-masing. Mungkin ada yang merasakannya pelik termasuklah saya sendiri tetapi lambat laun akan terbiasa dengan sendirinya. Seterusnya sebanyak tiga sensor disediakan dengan salah satunya menyokong telefoto kemudian LED Flash pula diletakkan secara berasingan di luar bonggol kamera. Selain itu terdapat juga penjenamaan Oppo pada bahagian bawah yang melengkapi panel belakang.

Susun atur butang standard sama seperti generasi sebelum. Butang kuasa dan laras audio boleh ditemui di sebelah sisi kanan. Diikuti juga pembesar suara mono, port USB-C, lubang mikrofon dan slot SIM di bahagian bawah. Tiada ruangan mikroSD diberikan yang bermakna talam SIM yang digunakan sekadar menyokong dwi SIM bersaiz nano.

Pembesar suara yang masih sejenis mono dan tiada sokongan Dolby Atmos jelas menunjukkan peranti tidak direka untuk penggemar audio berkualiti tinggi. Kemudian tiada bicu audio 3.5mm juga langsung tidak mengejutkan bahkan sudah sedia berlaku sejak Reno5 lagi. Namun wujudnya pemancar merah dan NFC telah memberi nilai tambah cukup menarik. Diikuti juga sistem imbasan jari dan wajah yang berfungsi cukup baik dengan tindak balas yang lancar.

Sejujurnya tiada langsung rungutan ingin disuarakan bahkan Reno11 Pro 5G boleh sahaja digunakan dengan selesa sepanjang masa. Tubuh melengkung bersama sisi dibulatkan memberi cengkaman yang selesa sewaktu dalam genggaman. Boleh dikatakan bahawa pengalaman memegang itu terasa sama seperti Reno10 sebelum ini disebabkan dimensi fizikal yang hampir sama baik untuk ketebalan atau berat.

Bahagian belakang kaca juga tidak terlalu licin tetapi amatlah mudah memerangkap kotoran. Justeru penggunaan kerangka amatlah disarankan untuk menjadikan peranti kekal cantik. Pada masa sama turut mampu mengurangkan risiko kerosakan disebabkan oleh kecuaian.


Skrin

Oppo Reno11 Pro 5G dilengkapi skrin 6.7″ OLED 120Hz dengan resolusi 2.4K (1729 X 1080 piksel) dan ketumpatan piksel 349ppi. Ia juga menggunakan skrin yang mempunyai nisbah 20:9 bersama saiz bezel keempat-empat sisi juga hampir sama nipis.

Menurut Oppo skrin boleh memaparkan kecerahan maksimum 900nits yang sepatutnya tiada masalah digunakan dalam pelbagai situasi. Sebaliknya pula berlaku apabila saya alami kesukaran melihat kandungan di bawah cahaya matahari terang. Paparan juga diperakui keupayaan HDR10, pada masa sama dilengkapi sistem DRM Widevine L1 yang membolehkan kandungan HD penuh boleh distrim pada aplikasi Netflix.

Pengalaman penggunaan keseluruhannya memuaskan dengan kebolehan skrin memaparkan warna yang baik serta sekata. Keterangan juga baik menjadikan segala kandungan boleh dilihat dengan jelas. Dalam masa sama tiada masalah aneh termasuk isu ghosting yang berlaku sepanjang tempoh ulasan dibuat. Cumanya penggunaan skrin melengkung mengakibatkan kandungan video yang ditonton melimpah ke sisi, sekaligus boleh menyebabkan ketidakselesaan pada sesetengah pengguna.


Penanda Aras – MediaTek Dimensity 8200

Oppo Reno11 Pro dijana pemproses lapan teras MediaTek Dimensity 8200, dan unit ulasan diterima menyokong memori 12GB RAM + 256GB ROM. Kombinasi RAM dan storan yang boleh dikatakan cukup untuk kebanyakan pengguna tetapi tidak boleh dikembangkan kerana tiada slot untuk mikroSD.

Namun begitu peranti masih boleh menambah sehingga 12GB RAM secara maya menggunakan bahagian storan. Ini bermakna secara keseluruhannya peranti ini boleh menawarkan sehingga 24GB RAM. Beberapa ujian penanda aras juga dilakukan dan dibandingkan dengan pesaing setara seperti di bawah:

Geekbench 6

  • Oppo Reno11 Pro 5G – 934/3389
  • Xiaomi 13T – 1245/3993
  • Nothing Phone (2) – 1734/4576
  • Poco F5 Pro – 1868/5272

Antutu 3D

  • Oppo Reno11 Pro 5G – 937,938
  • Xiaomi 13T – 886,517
  • Nothing Phone (2) – 1,142,277
  • Poco F5 Pro – 1,049,997

Wild Life Extreme

  • Oppo Reno11 Pro 5G – 1748
  • Xiaomi 13T – N/A
  • Nothing Phone (2) – 2584
  • Poco F5 Pro – N/A

Oppo Reno11 Pro mampu mengendalikan tugas harian dengan baik. Boleh dikatakan hampir tiada masalah sela masa yang berlaku sama ada digunakan untuk menatal antaramuka mahupun aplikasi. Sokongan skrin 120Hz juga membuatkan peranti terasa responsif sewaktu digunakan. Pengalaman bermain pelbagai jenis permua juga tiada masalah. Misalnya seperti Asphalt 9 berada di tahap memuaskan dengan sokongan pengesanan jari yang baik.

Diikuti juga Mobile Legend Bang Bang (MLBB) yang menyediakan tetapan tertinggi sehingga Super/Ultra, namun tetapan asalnya dilihat pada High/High. Peranti juga didapati mula memanas selepas bermain untuk jangka masa agak lama tetapi tidaklah sehingga menjejaskan prestasi. Isu yang sama turut boleh dirasai dengan tahap pemanasan lebih ketara sewaktu proses muat-turun perisian permua dan melakukan ujian penanda aras.


Perisian – ColorOS 14 Berasaskan Android 14

Perisian digunakan ialah ColorOS 14 (berasaskan Android 14) dengan antaramuka yang dioptimumkan bersama ciri pintar berasaskan AI. Melaluinya ia menggunakan reka bentuk Aquamorphic yang diberi nafas baharu dengan gabungan sistem warna, kesan bunyi dan interaksi lebih baik.

Di mana sistem warna dinaiktaraf dengan kebolehan penyesuaian mengikut status, masa dan kandungan pada skrin semasa. Ciri Aqua Dynamics pula membolehkan pelbagai maklumat diakses menerusi gelembung/kapsul pada status bar untuk pengalaman interaksi lebih menarik.

Pelbagai ciri berasaskan AI juga diperkenalkan seperti ciri Smart Charging berasaskan AI yang boleh melaras arus secara automatik berdasarkan status penggunaan telefon pintar. Diikuti juga ciri Smart Touch yang membantu pengguna memilih teks, imej atau video daripada sistem/aplikasi pihak ketiga lalu mengumpulnya dalam Dock Fail. Sementara itu ciri Smart Image Matting pula berfungsi sama seperti proses memangkas gambar yang boleh ditemukan pada iOS 17.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Bahagian menarik pada peranti Reno sudah semestinya pada sistem kamera. Sistem tri-kamera masih dikekalkan pada tahun ini dengan 50MP sebagai sensor utama. Diikuti juga sensor kedua 32MP (Sony IMX709) untuk telefoto yang menyediakan zum optikal 5X dan digital 20X. Sensor ketiga pula 8MP (Sony IMX355) untuk sudut ultra lebar. Fungsi OIS juga disediakan untuk tangkapan lebih baik, kemudian kamera hadapan pula sebesar 32MP dengan fungsi autofokus terbina.

Gambar statik boleh diambil pada nisbah 4:3, 16:9, 1:1 dan skrin penuh. Dari segi fungsi pula, mod kamera yang pelbagai guna disediakan seperti Pro, Video, Photo, Portrait dan More. Format rakaman maksimum 4K/60fps dengan penstabilan terbina. Kelebihan lain turut boleh ditemui pada fungsi potret yang kini menyediakan lebih banyak penuras terbina menarik untuk dicuba.

Sama ada sedar atau tidak bonggol kamera juga tidak menunjukkan sebarang penjenamaan untuk cip ISP MariSilicon X. Ini bermakna kamera peranti tidak menyokong cip ISP tersebut yang sebenarnya tidaklah begitu mengejutkan kerana pengeluarannya telah ditamatkan sejak Mei yang lalu. Sekaligus menjadikan siri Oppo Reno10 yang terakhir menggunakannya.

Kualiti gambar bergantung sepenuhnya dengan pencahayaan keadaan semasa. Ini bermakna imej yang baik-baik sahaja boleh dihasilkan dengan sumber cahaya mencukupi. Ia dilihat sederhana dengan penghasilan warna lebih ke arah semula jadi selepas pasca-proses agak keterlaluan. Tangkapan yang dibuat dalam pencahayaan kurang pula menghasilkan imej yang pudar dan lembut.

Seterusnya perubahan warna di antara lensa utama ke sudut lebar pula tidak menunjukkan perbezaan ketara. Tangkapan gambar potret pula memberi hasil tidak konsisten apabila kamera dilihat gagal membezakan subjek dan latar belakang dengan baik dalam sesetengah keadaan. Gambar malam menerusi kamera standard lebih memuaskan berbanding ciri Night Mode. Perlu dinyatakan bahawa peranti mengambil masa antara 1 – 3 saat untuk mengoptimumkan algoritma AI sebelum gambar diambil boleh dilihat dalam album.


Ketahanan Bateri

Oppo Reno11 Pro dimuatkan dengan bateri 4,600mAh dengan pengecasan berwayar 80W. Sungguhpun begitu kepala pengecas disediakan boleh menyokong sehingga 100W. Secara purata peranti mampu bertahan antara 7 hingga 9 jam pada kecerahan automatik, sentiasa bersambung WiFi/hotspot, menonton video (Youtube/Netflix) dan bermain permua untuk beberapa sesi. Hanya menjadi lebih lama sehari suntuk dengan kegunaan sederhana seperti aplikasi media sosial semata. Proses pengecasan penuh pula boleh dibuat dalam masa kurang satu jam.


Peranti Pesaing

Oppo Reno11 Pro Nothing Phone (2)Xiaomi 13T
6.7” OLED 2.4K, Pro XDR,
Warna 10-bit, 120Hz
6.7” LTPO AMOLED,
FHD+ 120Hz, HDR10+
6.67″ AMOLED, FHD+,
144Hz, Dolby Vision, HDR10+
Dimensity 8200 (4nm)
1x Cortex-A78, 3.1GHz
3x Cortex-A78, 3.0GHz
4x Cortex-A55, 2.0GHz
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x Cortex-X2 Prime, 3.0GHz
3x Cortex-A710, 2.5GHz
4x Cortex-A510, 1.8GHz
Dimensity 8200-Ultra (4nm)
1x Cortex-A78, 3.1GHz
3x Cortex-A78, 3.0GHz
4x Cortex-A55, 2.0GHz
Mali-G610 MC6Adreno 730Mali-G610 MC6
12 GB LPDDR512GB LPDDR58/12 GB LPDDR5
256GB UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1256GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP OIS (Sudut Lebar)
32MP (Telefoto)
8MP (Ultra Sudut Lebar)
4K/30fps
Kamera Utama
50 MP OIS, EIS (Sudut Lebar)
50 MP (Sudut Lebar + makro)
4K/60 fps
Kamera Utama
50MP OIS (Sudut Lebar)
50MP (Telefoto)
12MP (Sudut Lebar)
4K/30fps
Kamera Hadapan
32MP
Kamera Hadapan
32MP
Kamera Hadapan
20MP
Tidak kalis airIP54IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
4,600 mAh
(Berwayar 80W)
4,700 mAh
(Berwayar 45W)
5,000 mAh
(Berwayar 67W)
RM2499 (12/512 GB)RM 2999 (12/256 GB)
RM 3499 (12/512 GB)
RM 1799 (8/256 GB)
RM 1999 -(12/256 GB)

Apa Di Dalam Kotak?

  • 1x Oppo Reno11 Pro 5G.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 100W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Silikon.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Oppo Reno11 Pro 5G meneruskan tumpuan generasi sedia ada dalam aspek fotografi potret dan binaan yang premium. Ia juga menawarkan pakej cukup menarik dalam aspek tertentu. Misalnya seperti skrin besar yang terang sesuai amatlah berguna untuk kegunaan multimedia.

Cip pemprosesannya juga lebih daripada memadai untuk kegunaan sebahagian besar aktiviti harian. Diikuti pula gabungan memori dan storan yang boleh dikatakan cukup buat kebanyakan pengguna, berserta tambahan sokongan RAM maya. Kapasiti bateri tidak begitu besar tetapi diubati dengan pengecasan pantas 80W dan pengecas diberi percuma.

Sungguhpun begitu Reno11 Pro 5G masih tidak lari daripada kekurangan. Tiadanya pembesar suara stereo dan penarafan rasmi kalis air menjadi perbincangan hebat dalam kalangan pengguna. Bukan itu sahaja rekaan bonggol kameranya turut boleh menjadi ‘bahan kecaman’ sesetengah pihak yang menganggapnya pelik.


PRO

  • Nipis dan ringan selesa di tangan.
  • Kekal tradisi menerusi inovasi.
  • Cip pemproses lebih memadai.
  • Sistem pengecasan pantas.

KONTRA

  • Kapasiti bateri kecil.
  • Pembesar suara mono.
  • Sistem kamera sederhana sahaja.
  • Bonggol kamera pelik.
  • Tidak kalis air.
Komen