Cari @ Amanz

Samsung Galaxy XCover7 dan Galaxy Tab Active 5 telah dilancarkan secara rasmi semalam. Kedua-dua telefon pintar dan tablet ini bukan sahaja kalis air IP68 tetapi turut melepasi piawaian ketahanan hentakan MIL-STD 810H yang digunakan oleh pihak tentera.

Samsung Galaxy XCover7 dilengkapi skrin 6.6″ FHD+ TFT 60Hz, dijana cip Dimensity 6100 Plus, memori 6GB RAM, storan 128GB dan bateri sebesar 4050 mAh. Ini dipadankan kepada sistem kamera 50MP di belakang dan kamera swafoto pula 5MP. Agak canggung melihat telefon pintar moden yang menggunakan sistem mono kamera sahaja di belakang.

Tetapi peranti ini mempunyai bicu audio 3.5mm dan bateri yang boleh ditanggalkan tidak seperti peranti moden keluaran Samsung yang lain. Aneh sekali ia juga tidak menyokong sebarang pengimbas cap jari dan sekadar imbasan wajah sahaja boleh digunakan.

Samsung Galaxy Tab Active5 pula dilengkapi skrin 8″ FHD+ TFT 120Hz, memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 5050 mAh. Ini dipadankan kepada sistem kamera 13MP di belakang dan kamera swafoto pula 5MP. Tidak diketahui apakah cip pemproses yang digunakan pada tablet ini.

Seperti XCover7, tablet ini mempunyai bicu audio 3.5mm dan bateri yang boleh ditanggalkan serta hadir dengan S Pen. Ia juga mempunyai sokongan pengimbas cap jari pada bahagian sisi. Dengan ketahanan MIL-STD810H, Tab Active5 tahan hentakan jatuh dari ketinggian 1.8 meter.

Harga jualan untuk kedua-dua peranti yang cukup tahan lasak ini belum lagi diumumkan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd