Carian
Honor MagicOS 8.0 Berasaskan Android 14 Diumumkan Dengan AI MagicLM
January 11, 2024 • Effi Saharudin

Honor akhirnya melancarkan sistem operasi MagicOS 8 berasaskan Android 14 dengan ia turut hadir model kecerdasan buatan (AI) terbina MagicLM. MagicLM ialah model LLM yang kecil dengan tujuh bilion parameter yang memberikan beberapa ciri baharu yang tidak ditawarkan sebelum ini.

Salah satu ciri tersebut ialah Magic Portal yang memahami apa yang ingin dilakukan oleh pemilik peranti MagicOS 8. Sebagai contoh jika anda menerima mesej lokasi mesyuarat misalnya, anda hanya perlu menarik skrin ke kanan untuk membuka Magic Portal. Ia boleh meneka anda mungkin ingin membuka aplikasi navigasi. Tarik sahaja skrin mesej dan letakkannya pada ikon aplikasi navigasi dan secara automatik arahan ke destinasi yang diterima tadi akan dibuka tanpa anda perlu memasukkannya secara manual.

Magic Portal

Ia turut mempunyai ciri memperibadikan skrin kunci di hadapan seakan iOS 17. Bukan itu sahaja yang dipinjam malahan mod StandBy iPhone yang memaparkan waktu serta pelbagai maklumat penting apabila diletakkan di dermaga pengecas juga wujud pada MagicOS 8.

MagicLM juga mempunyai kemampuan sebagai pembantu maya yang lebih bijak dengan ia boleh mencari sesuatu babak video dalam galeri apabila arahan diberikan. Kemampuan ini telahpun kami lihat sendiri dilakukan oleh CEO Honor George Zhao ketika pelancaran Snapdragon 8 Gen 3 di Hawaii pada Oktober tahun lalu.

Tidak diketahui bila peranti global akan menerima MagicOS8 tetapi yang pasti peranti pertama yang akan menggunakannya ialah Honor Magic8 akan dilancarkan hari ini.

Komen