WhatsApp kini memperkenalkan kemudahan untuk pengguna aplikasi permesejan berkenaan untuk menghasilkan “sticker” atau pelekat tersendiri, tanpa perlu meninggalkan aplikasi WhatsApp.

Melalui kemaskini terbaru, pengguna WhatsApp di iPhone boleh melakukan pemilihan gambar dari galeri dan mengubahnya menjadi “sticker”, sebelum dikongsikan pada mesej.
Untuk melakukannya, anda hanya perlu membuka bahagian perkongsian “sticker” di WhatsApp, dan seterusnya memilih “Create Sticker”. Anda seterusnya boleh memilih gambar dari galeri, dan mengubahnya dalam bentuk “sticker” dengan mudah dan pantas. Anda juga turut boleh menambah lakaran atau teks pada “sticker” berkenaan sebelum dikongsikan.

Kemaskini terbaru ini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna WhatsApp di iPhone yang menggunakan iOS 17 dan terkini. Disamping pada iPhone, anda juga boleh melakukan perkara sama melalui WhatsApp Web.