Penggunaan alat kawalan permainan nirwayar sudah digunakan hampir dua dekad lamanya tetapi semakin popular sekarang kerana teknologi yang semakin matang. Isu yang paling kerap dikaitkan dengan alat kawalan permainan nirwayar ialah ia perlu kerap dicas menyebabkan sesi permainan terbantut. Bagi pemilik PS5, alat kawalan jauh Sony DualSense kelak akan dikemaskini dengan bateri yang lebih dua kalu ganda tahan lebih lama.

Laman Best Buy di Kanada menyenaraikan DualSense V2 yang mempunyai ketahanan bateri sehingga 12 jam. Ini adalah jauh lebih tahan lama berbanding hanya sehingga lima jam sahaja pada DualSense sekarang. Dari segi rekaan tiada sebarang perubahan dilakukan pada saiz ataupun konfigurasi butang.
Sony masih belum melakukan pengumuman rasmi bila DualSense baharu ini akan dipasarkan serta harga jualannya. Jika anda ada berfikir untuk membeli DualSense, kami sarankan anda tangguh dahulu sementara menanti versi dengan bateri lebih tahan lama ini memasuki pasaran Malaysia.