*Artikel telah dikemaskini dengan sampel gambar, tangkapan layar antaramuka dan markah penanda aras.*
Tahun demi tahun inovasi pada model terkini telefon pintar semakin berkurangan. Seperti sudah kekurangan idea memandangkan telefon pintar di tangan anda sekarang sudah menjalani sekurang-kurangnya 10 iterasi sejak dilancarkan. Ianya semakin sukar buat siri Samsung Galaxy S yang kini berada di iterasi yang ke-15 menerusi Samsung Galaxy S24.
Penawaran Galaxy S23 Ultra tahun lalu sudah hampir lengkap dengan hanya ada beberapa sahaja penambahbaikan yang perlu dilakukan. Tidak banyak inovasi baharu boleh dilakukan pada perkakasan maka tahun ini tumpuan diberikan sepenuhnya oleh Samsung pada perisian khususnya dengan mengintegrasikan pelbagai ciri kecerdasan buatan Galaxy AI.
Selepas menggunakan peranti ini selama beberapa jam di Kuala Lumpur dan San Jose, saya boleh katakan kepada pembaca kita telah memasuki era AI pada telefon pintar dan Galaxy S24 Ultra ialah peranti yang sangat menakjubkan kemampuan perisiannya.
Spesifikasi
Samsung Galaxy S24 Ultra | |
---|---|
Skrin | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO WQHD+, 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy (4nm) |
Cip | 1 x 3.39 GHz Cortex-X4 3 x 3.1 GHz Cortex-A720 2 x 2.9 GHz Cortex-A720 2 x 2.2 GHz Cortex-A520 |
Cip Grafik | Adreno 750 |
RAM | 12GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256 /512/1000TB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 50MP f/3.4, OIS (Telefoto 5X) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) |
Kamera Swafoto | 12 Megapixel f/2.2 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 45W Pengecasan nirwayar 15W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM 6299 (12/256GB) RM 6799 (12/512GB) RM 7799 (12/1000GB) |
Skrin
Skrin masih lagi 6.8″ QHD+ Dyanmic AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dari jenis LTPO. Tahap keterangan skrin kini melonjak ke 2600 nits berbanding 1750 nits pada model tahun lalu. Kandungan HDR10+ kini nampak lebih terang pada skrin baharu S24 Ultra. Yang menariknya tahun ini ialah skrin S24 Ultra juga digunakan pada S24 dan S24+ yang menjadikan pengalaman skrin pada ketiga-tiga peranti adalah sama. Tahun lalu wujud rungutan kerana panel S24 dan S24+ bukan dari jenis LTPO.

Kami diberitahu bahawa bezel S24 Ultra adalah lebih kecil tahun ini tetapi mata kami tidak dapat melihat perbezaan yang begitu ketara. Secara peribadi saya tidak mempunyai isu dengan bezel yang tebal sikit di sisi kerana ia menjadikan peranti lebih tahan lasak apabila terjatuh. Tetapi saya tahu pengguna kini mahukan semuanya semakin nipis, semakin pantas dan semakin canggih maka bezel S24 Ultra perlu mengikut trend pasaran.
Biometri

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung adalah sebilangan kecil pengeluar yang menggunakan pengimbas ultrasonik yang lebih mahal kerana ia boleh mengimbas jari yang basah dan kotor secara lebih konsisten. Imbasan wajah turut boleh diaktifkan jika perlu. Saya mendapati kedua-dua sistem biometri pada S24 Ultra adalah cukup pantas.
S-Pen

Tiada perubahan spesifikasi dilakukan pada S Pen yang kini memasuki tahun ke empat ia ditawarkan pada siri Galaxy. Masih ada sokongan dijadikan alat kawalan jauh untuk mengawal kamera dan melakar terus pada skrin. Walaupun sudah lama tidak ditambah baik, S Pen pada S24 Ultra masih lagi yang terbaik pada sebuah telefon pintar pada waktu ini.
Rekaan

Rekaan S22 Ultra dan S23 Ultra dikitar semula sekali lagi tetapi dengan beberapa perubahan yang sebenarnya agak besar. Tubuh kini diperbuat daripada logam titanium menggantikan Armor Aluminium. Menurut Samsung dengan penggunaan titanium tubuh S24 Ultra adalah lebih tahan lasak tetapi lebih ringan. Saya harus katakan sebenarnya tidak dapat membezakan perbezaan berat pada S24 Ultra berbanding S23 Ultra. Yang disedari hanyalah tubuh terasa lebih sejuk di dalam tangan.

Bahagian sisi kini semakin berkotak berbanding model tahun lalu. Tiada perubahan pada kedudukan butang kuasa dan suara di sisi kanan. Kekisi speaker, talam SIM dan port pengecasan USB-C juga masih di bawah. Lubang kekisi speaker kini digantikan dengan salur alur nipis mungkin bagi memberikan aliran bunyi yang lebih baik.

Satu lagi perubahan kecil ialah bahagian belakang S Pen juga lebih rata supaya seragam dengan tubuh peranti yang seperti saya katakan tadi lebih rata. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68 maka tidak perlu risau ia mengalami kerosakan jika terjatuh dalam kolam sehingga 15 minit.

Bahagian belakang menempatkan empat lensa kamera yang agak besar tetapi tidak begitu tinggi. Saya masih sarankan penggunaan kerangka bagi memastikan lensa tidak tercalar dan lebih penting sekali membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja.
Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi One UI 6.1 digunakan pada S24 Ultra dengan ia berasaskan Android 14. Saya telahpun gunakan antaramuka ini pada S23 Ultra dan Z Fold5 sebelum ini oleh itu tiada ciri baharu dapat saya lihat pada sistem operasi. Ikon, susunan, talam pintasan, skrin tetapan dan ciri-ciri standard semuanya sama sahaja. Saya tidak dibenarkan mengambil tangkapan layar ketika sesi ujian maka sara sertakan tangkapan layaran dari sebuah S23 Ultra di bawah yang hampir sama cuma dengan imej latar belakang berbeza.
Tahun ini Samsung mengikut langkah Google dan akan memberikan sokongan tujuh versi Android dan tampalan sekuriti selama tujuh tahun. Bagi mereka yang mencari peranti yang mempunyai sokongan kemas kini yang lama, pilihan anda di Malaysia hanyalah siri S24 dan siri Pixel 8 yang tidak dijual secara rasmi.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, mudah difahami dan kemas. Ciri memperibadikan tema dengan warna elemen antaramuka berubah mengikut warna latar belakang masih lagi sama. Widget boleh disusun berlapis untuk memaparkan lebih banyak maklumat tanpa perlu memakan ruang yang banyak pada skrin utama. Mahukan memori tambahan? Ciri RAM Plus boleh diaktifkan dengan penambahan sehingga 8GB RAM lagi sekiranya perlu.

Galaxy AI – Kecerdasan Buatan Untuk Semua
Tumpuan tahun ini bukan pada kamera, rekaan badan, bateri lebih baik, skrin lebih cantik atau pengecasan lebih pantas. Sebaliknya Samsung melakukan pertaruhan all in ke dalam ekosistem Galaxy AI. Model AI Samsung Gauss terbina terus di dalam setiap S24 Ultra tahun ini bagi membantu ia melakukan beberapa ciri yang sebelum ini saya rasakan hanya sekadar fiksyen sains.
Call Assist

Dengan Call Assist panggilan telefon dengan insan yang tidak bercakap dengan bahasa yang sama boleh dilakukan. Pada demo saya lakukan panggilan suara dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya diubah ke bahasa Korea secara automatik. Jawapan dalam bahasa Korea kemudian dialih bahasa ke bahasa Inggeris. Ia seakan Universal Translator daripada siri Star Trek. Ketika pelancaran hanya 17 bahasa utama dunia seperti Inggeris, Korea, Jepun, Mandarin, dan Hindi disokong. Tiada maklumat bila pula bahasa Melayu akan diberikan. Call Assist dilakukan terus dari dalam telefon tanpa memerlukan internet.
Chat Assist

Saya yakin ramai sudah menggunakan ChatGPT atau Bard untuk membantu menulis emel yang intonasinya lebih formal. Chat Assist memberikan penggunaan yang sama dengan pilihan tona penulis formal, media sosial, santai atau emojify. Dengan ini mesej yang lebih serasi dengan insan ia akan dihantar boleh ditulis dengan bantuan AI yang juga terbina dalam peranti tanpa memerlukan internet. Chat Assistant menyokong lebih 100 bahasa yang kini disokong oleh Samsung Keyboard untuk melakukan alih bahasa automatik dalam aplikasi seperti WhatsApp, Messenger, dan Line.
Note Assist
Perlukan bantuan menulis nota dalam Samsung Notes? Note Assist boleh melakukan rumusan untuk nota yang panjang, dan mengubah nota ke format yang menggunakan bantuan AI. Beberapa templat akan dijana yang kemudiannya dipilih sendiri oleh pengguna mengikut citarasa.
Sunting Gambar Dan Video Dengan AI

AI generatif Samsung digunakan untuk melakukan suntingan pada gambar yang diambil. Objek boleh dipadam, diubah kedudukan dan objek lain pula ditambah ke dalam gambar menerusi aplikasi Gallery. AI turut boleh memberikan saranan suntingan yang boleh dilakukan seperti membuang pantulan cermin, silau dan bayang-bayang. Bahagian luar gambar juga boleh dijana seperti Generative Expand pada Photoshop. Ciri ini memerlukan sambungan internet oleh itu mengambil masa sekitar 45-60 saat untuk melakukan proses penjanaan imej generatif.
Video gerak perlahan juga boleh dihasilkan daripada video yang tidak dirakam menggunakan mod ini. Saya yakin anda sema pernah tersalah tekan bukan slow-mo pada kamera. Dengan AI generatif, bingkai tambahan pada video dijana terus dari peranti untuk menghasilkan kesan slow mo. Bagaimana ini dilakukan dapat anda lihat menerusi video di atas.
Transcript Assist
Aplikasi rakaman audio Samsung boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Selepas rakaman dan transkripsi selesai diambil, Transcript Assist boleh menjana rumusan pendek tanpa memerlukan sambungan internet. Amat menjimatkan masa kerana topik dan kandungan dapat dicari menggunakan transkrip yang dihasilkan. Tak perlu lagi mendengar semula rakaman audio panjang ketika saya melakukan temubual bagi tujuan kerja.
Circle To Search with Google

Ini ciri yang saya rasakan paling berguna. Pernahkah anda terjumpa gambar haiwan yang tidak diketahui spesisnya? Beg tangan tetapi tidak tahu di mana ia boleh dibeli? Atau sekadar ingin mengenal pasti objek dalam gambar? Circle To Search with Google boleh melakukan carian dengan hanya menekan butang home (atau palang tatalan gestur di bawah skrin) dan kemudian lukis bulatan pada objek yang ingin dicari.
Proses mencari objek yang relevan hanya mengambil masa sekitar satu saat sahaja. Anda tidak lagi perlu mengambil tangkapan layar yang kemudiannya dimuat naik ke Google Lens. Tidak seperti ciri AI Samsung di atas, Circle To Search memerlukan sambungan internet.
Penanda Aras – Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy
Hanya Samsung Galaxy S23 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy di Malaysia sementara S24 dan S24+ mengguakan cip Exynos 2400. Bagaimana prestasi cip Snapdragon ini apabila dibandingkan dengan Vivo X100 Pro (Dimensity 9300), iQOO 12 (Snapdragon 8 Gen 3) dan RedMagic 9 Pro (Snapdragon 8 Gen 3)
Geekbench 6
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 2278/7016
- RedMagic 9 Pro – 2153/6775
- iQOO 12 – 2181/6631
- vivo X100 Pro – 2071/5032
Antutu 3D
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 1,768,765
- RedMagic 9 Pro – 2,114,787
- iQOO 12 – 2,075,821
- vivo X100 Pro – 1,852,552
3D Mark Wildlife Extreme
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 27.89 FPS
- RedMagic 9 Pro – 31.33 FPS
- iQOO 12 – 30.22 FPS
- vivo X100 Pro – 24.35 FPS
3D Mark Wildlife Solar Bay
- Samsung Galaxy S24 Ultra – 32.56 FPS
- RedMagic 9 Pro – 33.10 FPS
- iQOO 12 – 32.43 FPS
- vivo X100 Pro – 26.35 FPS

Kamera
Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 5X 50MP dan telefoto 3x 10MP. Hanya lensa ultra sudut lebar tidak dilengkapi sistem OIS. Di hadapan pula kamera swafoto 12MP digunakan. Tiada perubahan besar di sini kecuali penggunaan telefoto 50MP menggantikan sensor 10MP tahun lalu. Kamera utama boleh melalukan zum pada tetapan 0.6X, 1X, 3X, 5X, 10X, 30X dan 100X.

Yang kami sedari alah mod potret bolah dilakukan pada tetapan zum 5X baharu. Rakaman video 8K juga boleh dilakukan pada tetapan zum 5X berbanding hanya 1X sebelum ini. Walaupun pada tetapan 100X, kamera masih mampu mengekalkan viewfinder yang stabil. Terdapat peranti lain dengan kemampuan zum yang sama tetapi saya sedari sistem penstabilan imej Samsung adalah yang paling cemerlang. Berikut adalah beberapa sampel gambar yang sempat di ambil sekitar San Francisco oleh saya.









Bateri
Bateri kekal dengan kapasiti 5000 mAh yang boleh dicas secara berwayar dengan kuasa 45W, nirwayar dengan kuasa 15W dan pengecasan nirwayar berbalik. Penantian untuk pengecasan super pantas seperti yang ditawarkan Realme, Xiaomi dan Oppo pada peranti Samsung berterusan satu tahun lagi kerana mereka belum sedia menawarkannya kepada pengguna.

Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S24 Ultra.
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Pengalaman saya menggunakan Samsung Galaxy S24 Ultra adalah terlalu singkat kerana sesi yang pendek dan perlu menulis artikel ini dalam keadaan kepenatan selepas perjalanan jauh hampir 24 jam dari Kuala Lumpur ke San Jose. Sekali lagi dari segi perkakasan tiada perubahan besar baik dari sudut rekaan ataupun komponen utama dilakukan. Samsung mengekalkan konsep perubahan kecil tahun demi tahun.
Perubahan paling besar tahun ini ialah perisian kerana ia kali pertama sejak perubahan daripada Samsung Experience ke One UI mereka mencuba sesuatu yang baharu. Ciri panggilan telefon dialih bahasa secara masa nyata, suntingan AI generatif, bantuan menaip, dan pelbagai lagi kemampuan AI adalah sangat menakjubkan.

Pada ketika ini tidak melampau untuk mengatakan S24 Ultra ialah Pixel versi Samsung. Kemampuan AI adalah hampir sama dan lebih penting sekali majoritinya berfungsi tanpa sambungan internet yang cukup memuaskan. Adakah ini mencukupi untuk menarik minat orang ramai untuk terjun ke dalam ekosistem Galaxy AI? Hanya masa akan memberikan jawapannya.
Di Malaysia pratempahan Samsung Galaxy S24 Ultra dibuka hari ini dengan harga jualan RRM6299 untuk 12/256GB, RM6799 untuk 12/512GB dan RM7799 untuk 12/1000GB. Pilihan warna ialah Titanium Gray, Titanium Yellow, Titanium Violet, dan Titanium Black. Pembeli atas talian mempunyai pilihan warna tambahan Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.
Pro
- Rekaan tubuh titanium yang lebih berkotak selesa dalam tangan.
- Snapdragon 8 Gen 3 For Galaxy cukup berkuasa.
- Menyokong S Pen.
- Pelbagai ciri Galaxy AI yang bukan sahaja menarik tetapi berguna.
- IP68.
- Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Tiada perubahan rekabentuk berbanding model tahun lalu.
- Pengecasan masih hanya 45W.
- RAM sehingga 12GB sahaja sedangkan pesaing sudah menawarkan peranti 24GB.
- Pra-Tempah :