Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S24 Ultra Dilancarkan Dengan Snapdragon 8 Gen 3, Dan Tubuh Titanium – Harga Bermula RM6299

Link Copied!

Samsung Galaxy S24 Ultra turut dilancarkan bersama dengan Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ awal pagi ini. Perbezaan paling ketara pada S24 Ultra ialah rekaan tubuh titanium dan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dan bukannya Exynos 2400 pada dua lagi model dalam siri ini.

Peranti dilengkapi skrin 6.8″ Dynamic AMOLED 2X QHD+ dari jenis LTPO yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Tahun ini skrin ditambah baik dengan keterangan puncak mencecah 2600 nits yang lebih tinggi berbanding 1750 nits pada model tahun lalu. Dengan Vision Booster baharu, Samsung menjanjikan keterangan skrin lebih baik di bawah cahaya matahari. Bahagian bezel pada skrin juga lebih nipis. Sokongan S Pen dikekalkan namun begitu tiada penambahbaikan dilakukan pada spesifikasi stylus yang menggunakan teknologi Wacom ini.

Cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dipadakan dengan memori sebesar 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0 dan bateri 5000 mAh. Pengecasan kekal pada tahap maksimum 45W secara berwayar dan 15W secara nirwayar menyokong format Qi.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 12MP, telefoto 5X 50MP dan telefoto 3x 10MP. Hanya lensa ultra sudut lebar tidak dilengkapi sistem OIS. Sementara itu di hadapan pula sensor 12MP digunakan untuk swafoto. Perubahan tahun ini ialah sensor 50MP menggantikan sensor 10MP.

Tumpuan tahun ini diberikan sepenuhnya pada perisian. Pertama sekali kesemua peranti siri Samsung Galaxy S24 akan diberikan sokongan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti yang setanding yang ditawarkan pada siri Google Pixel 8.

Kemampuan kecerdasan pula menjadi pelaris di bawah payung Galaxy AI. Ciri seperti Call Assist, Chat Assist, dan Note Assist menggunakan AI terbina pada peranti membolehkan ia berfungsi tanpa internet atau data diproses di awanan. Call Assist boleh melakukan alih bahasa panggilan telefon secara masa nyata sementara Chat Assist pula boleh melakukan alih bahasa teks dan mengubah gaya penulisan.

Call Assist

Suntingan gambar dengan bantuan AI turut diberikan yang memudahkan proses memadam objek, bayang-bayang dan pantulan pada cermin. Ciri Circle Search with Google pula membolehkan carian imej dilakukan terus pada mana-mana skrin tanpa tangkapan layar dilakukan terlebih dahulu. Dua ciri ini memerlukan sambungan internet untuk berfungsi.

Dari segi perkakasan memang tidak banyak penambahbaikan dilakukan tetapi dari sudut perisian Samsung Galaxy S24 Ultra boleh kami katakan ialah Google Pixel oleh Samsung memandangkan terdapat banyak ciri AI yang serupa.

Di Malaysia pratempahan Samsung Galaxy S24 Ultra dibuka hari ini dengan harga jualan RRM6299 untuk 12/256GB, RM6799 untuk 12/512GB dan RM7799 untuk 12/1000GB. Pilihan warna ialah Titanium Gray, Titanium Yellow, Titanium Violet, dan Titanium Black. Pembeli atas talian mempunyai pilihan warna tambahan Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.

Pra-Tempah :

Komen ()