Cari @ Amanz

Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ telah dilancarkan di acara Galaxy Unpacked yang berlangsung di San Jose pagi ini. Seperti yang dijangka, S24 dan S24+ kembali ditawarkan ke pasaran Malaysia menggunakan cip Eyxnos 2400 yang di dalam kelas yang sama seperti Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang hanya diberikan pada S24 Ultra tahun ini.

Samsung Galaxy S24 dilengkapi skrin 6.2″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ dari jenis LTPO yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Tahun ini keterangan skrin mencecah 2600 nits yang lebih tinggi berbanding 1750 nits pada model tahun lalu. Bahagian bezel pada skrin juga lebih nipis. Skrin pada ketiga-tiga model S24 tahun ini adalah sama menyelesaikan rungutan tahun lalu dimana hanya model Ultra adalah dari jenis LTPO.

Cip Exynos 2400 dipadakan dengan memori sebesar 8GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 256 UFS 4.0 dan bateri 4000 mAh. Pengecasan kini adalah 45W secara berwayar dan 15W secara nirwayar menyokong format Qi. Satu lagi penambahbaikan berbanding tahun lalu pengecasan hanya sehingga 25W pada S23.

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan pula sensor 12MP digunakan untuk swafoto. Tiada perubahan dilakukan pada konfigurasi kamera berbanding tahun lalu.

Samsung Galaxy S24+ dilengkapi skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X QHD+ dari jenis LTPO yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Sekali lagi skrin adalah sama pada ketiga tiga model. Cip Exynos 2400 dipadakan dengan memori sebesar 12GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512 UFS 4.0 dan bateri 4900 mAh. Pengecasan kini adalah 45W secara berwayar dan 15W secara nirwayar menyokong format Qi.

Kamera juga sama iaitu lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 10MP. Sementara itu di hadapan pula sensor 12MP digunakan untuk swafoto.

Tumpuan tahun ini diberikan sepenuhnya pada perisian. Pertama sekali kesemua peranti siri Samsung Galaxy S24 akan diberikan sokongan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti yang setanding yang ditawarkan pada siri Google Pixel 8.

Kemampuan kecerdasan pula menjadi pelaris di bawah payung Galaxy AI. Ciri seperti Call Assist, Chat Assist, dan Note Assist menggunakan AI terbina pada peranti membolehkan ia berfungsi tanpa internet atau data diproses di awanan. Call Assist boleh melakukan alih bahasa panggilan telefon secara masa nyata sementara Chat Assist pula boleh melakukan alih bahasa teks dan mengubah gaya penulisan.

Circle to Search with Google

Suntingan gambar dengan bantuan AI turut diberikan yang memudahkan proses memadam objek, bayang-bayang dan pantulan pada cermin. Ciri Circle Search with Google pula membolehkan carian imej dilakukan terus pada mana-mana skrin tanpa tangkapan layar dilakukan terlebih dahulu. Dua ciri ini memerlukan sambungan internet untuk berfungsi.

Dari segi perkakasan memang harus diakui tidak banyak penambahbaikan dilakukan pada Galaxy S24 dan Galaxy S24+. Tumpuan Samsung pada tahun ini ialah pada perisian yang menjadikan kedua-dua peranti ini seakan Google Pixel dengan terdapat banyak ciri AI yang serupa.

Di Malaysia pratempahan Samsung Galaxy S24 dibuka hari ini dengan harga jualan RM4099 untuk 12/256GB, RM4599 untuk 8/512GB dalam pilihan warna tujuh pilihan warna. Sementara itu Samsung Galaxy S24+ pula dijual pada harga RM4899 untuk (12/256GB) dan RM5399 untuk 12/512GB.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd