Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy S24 Dan S24+ – Exynos Kembali Garang
January 18, 2024 Effi Saharudin

Tahun ini Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ kembali ditawarkan di Malaysia dengan cip Exynos. Exynos 2400 yang digunakan dilihat sebagai setara dengan Snapdragon 8 Gen 3 tetapi dengan konfigurasi sepuluh teras. Yang menjadi persoalan ramai pastinya apakah perbezaan (sekiranya anda) antara dua cip ini? Saya sempat menguji S24 dan S24+ dalam dua sesi media yang dilakukan oleh Samsung. Ini pendapat saya mengenai kedua-dua peranti ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S24 dan S24+
Skrin6.7″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO
QHD+, 120Hz, HDR10+

6.2″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSamsung Exynos 2400 (4nm)
Cip1 X 3.1 GHz Cortex X4
2 X 2.9 GHz Cortex A720
3 X 2.6 GHz Cortex A720
4 X 1.8 GHz Cortex A520
Cip GrafikSamsung Xclipse 940
RAM8/12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman128/256/512GB UFS 4.0
Kamera Utama50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP f/2.4, OIS (Telefoto 5X)
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.2
Bateri4900/4000 mAh
Pengecasan berwayar 45W/25W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanSamsung Galaxy S24
RM 4099 (8/256GB)
RM 4599 (8/512GB)

Samsung Galaxy S24+
RM 4899 (12/1000GB)
RM 5399 (12/1000GB)

Skrin

Skrin masih lagi 6.8″ QHD+ Dyanmic AMOLED 2X dengan kadar segar semula sehingga 120Hz dari jenis LTPO. Tahap keterangan skrin kini melonjak ke 2600 nits berbanding 1750 nits pada model tahun lalu. Kandungan HDR10+ kini nampak lebih terang pada skrin baharu S24 Ultra. Yang menariknya tahun ini ialah skrin S24 Ultra juga digunakan pada S24 dan S24+ yang menjadikan pengalaman skrin pada ketiga-tiga peranti adalah sama. Tahun lalu wujud rungutan kerana panel S24 dan S24+ bukan dari jenis LTPO.

Kami diberitahu bahawa bezel S24 Ultra adalah lebih kecil tahun ini tetapi mata kami tidak dapat melihat perbezaan yang begitu ketara. Secara peribadi saya tidak mempunyai isu dengan bezel yang tebal sikit di sisi kerana ia menjadikan peranti lebih tahan lasak apabila terjatuh. Tetapi saya tahu pengguna kini mahukan semuanya semakin nipis, semakin pantas dan semakin canggih maka bezel S24 Ultra perlu mengikut trend pasaran.

Biometri

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik turut dikekalkan di bawah skrin. Kedudukannya masih lagi sama dan masih mudah untuk diakses dengan jari yang ingin diimbas. Samsung adalah sebilangan kecil pengeluar yang menggunakan pengimbas ultrasonik yang lebih mahal kerana ia boleh mengimbas jari yang basah dan kotor secara lebih konsisten. Imbasan wajah turut boleh diaktifkan jika perlu. Saya mendapati kedua-dua sistem biometri pada S24 Ultra adalah cukup pantas.

Rekaan

Pandang pertama S24 dan S24+ saya gabungkan sekali kerana kedua-duanya adalah peranti kembar dengan hanya wujud perbezaan pada saiz skrin, RAM, storan dan kapasiti bateri sahaja. Rekaan tubuh peranti adalah rata pada bahagian sisi diperbuat daripada Armor Aluminium yang tahan lasak. Tiada perbezaan yang drastik dilakukan jika dibandingkan dengan S23 dan S23+.

Butang kuasa dan suara diletakkan di di sisi kanan. Kekisi speaker, talam SIM dan port pengecasan USB-C juga masih di bawah. Dwi-SIM nano disokong tetapi tiada sokongan kad mikroSD yang telah lama dihentikan oleh Samsung bersama dengan tiada lagi bicu audio 3.5mm. Tubuh melepasi piawaian kalis air dan debu IP68 yang saya rasakan harus menjadi standard pada semua peranti mercu moden.

Bahagian belakang menempatkan tiga lensa kamera yang agak besar tetapi tidak begitu tinggi. Saya masih sarankan penggunaan kerangka bagi memastikan lensa tidak tercalar dan lebih penting sekali membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja.

Penggunaan Dan Perisian

Sistem operasi One UI 6.1 digunakan pada S24 dan S24+ dengan ia berasaskan Android 14. Saya telahpun gunakan antaramuka ini pada S23 Ultra dan Z Fold5 sebelum ini oleh itu tiada ciri baharu dapat saya lihat pada sistem operasi. Ikon, susunan, talam pintasan, skrin tetapan dan ciri-ciri standard semuanya sama sahaja. Saya tidak dibenarkan mengambil tangkapan layar ketika sesi ujian maka sara sertakan tangkapan layaran dari sebuah S23 Ultra di bawah yang hampir sama cuma dengan imej latar belakang berbeza.

Peranti beroperasi lancar dengan aplikasi dilancarkan dengan pantas. Saya tidak dapat melihat sebarang isu tetapi harus dinyatakan saya tidak dapat mencuba sebarang permua kerana tiada yang terpasang. Pengalaman penggunaan S24 dan S24+ tiada bezanya pada hemat saya dengan S24 Ultra yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy.

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, mudah difahami dan kemas. Ciri memperibadikan tema dengan warna elemen antaramuka berubah mengikut warna latar belakang masih lagi sama. Widget boleh disusun berlapis untuk memaparkan lebih banyak maklumat tanpa perlu memakan ruang yang banyak pada skrin utama. Mahukan memori tambahan? Ciri RAM Plus boleh diaktifkan dengan penambahan sehingga 8GB RAM lagi sekiranya perlu.

Samsung meneruskan janji menawarkan kemas kini tujuh versi Android sehinggadan tampalan sekuriti selama tujuh tahun pada S24 Ultra. Ini adalah peningkatan daripada penawaran 5+4 tahun yang diumumkan dua tahun lalu. Jadi tidak perlu risau untuk menggunakan telefon pintar ini untuk tempoh yang lama kerana di disokong dengan baik oleh pengeluar.

Galaxy AI – Kecerdasan Buatan Untuk Semua

Tumpuan tahun ini bukan pada kamera, rekaan badan, bateri lebih baik, skrin lebih cantik atau pengecasan lebih pantas. Sebaliknya Samsung melakukan pertaruhan all in ke dalam ekosistem Galaxy AI. Model AI Samsung Gauss terbina terus di dalam setiap peranti S24 tahun ini bagi membantu ia melakukan beberapa ciri yang sebelum ini saya rasakan hanya sekadar fiksyen sains.

Call Assist

Dengan Call Assist panggilan telefon dengan insan yang tidak bercakap dengan bahasa yang sama boleh dilakukan. Pada demo saya lakukan panggilan suara dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya diubah ke bahasa Korea secara automatik. Jawapan dalam bahasa Korea kemudian dialih bahasa ke bahasa Inggeris. Ia seakan Universal Translator daripada siri Star Trek. Ketika pelancaran hanya 17 bahasa utama dunia seperti Inggeris, Korea, Jepun, Mandarin, dan Hindi disokong. Tiada maklumat bila pula bahasa Melayu akan diberikan. Call Assist dilakukan terus dari dalam telefon tanpa memerlukan internet.

Chat Assist

Saya yakin ramai sudah menggunakan ciri AI pada ChatGPT atau Bard untuk membantu menulis emel yang intonasinya lebih formal. Chat Assist memberikan penggunaan yang sama dengan pilihan tona penulis formal, media sosial, santai atau emojify. Dengan ini mesej yang lebih serasi dengan insan ia akan dihantar boleh ditulis dengan bantuan AI yang juga terbina dalam peranti tanpa memerlukan internet. Chat Assistant menyokong lebih 100 bahasa yang kini disokong oleh Samsung Keyboard untuk melakukan alih bahasa automatik dalam aplikasi seperti WhatsApp, Messenger, dan Line.

Note Assist

Perlukan bantuan menulis nota dalam Samsung Notes? Note Assist boleh melakukan rumusan untuk nota yang panjang, dan mengubah nota ke format yang menggunakan bantuan AI. Beberapa templat akan dijana yang kemudiannya dipilih sendiri oleh pengguna mengikut citarasa.

Sunting Gambar Dan Video Dengan AI

AI generatif Samsung digunakan untuk melakukan suntingan pada gambar yang diambil. Objek boleh dipadam, diubah kedudukan dan objek lain pula ditambah ke dalam gambar menerusi aplikasi Gallery. AI turut boleh memberikan saranan suntingan yang boleh dilakukan seperti membuang pantulan cermin, silau dan bayang-bayang. Bahagian luar gambar juga boleh dijana seperti Generative Expand pada Photoshop. Ciri ini memerlukan sambungan internet oleh itu mengambil masa sekitar 45-60 saat untuk melakukan proses penjanaan imej generatif.

Video gerak perlahan juga boleh dihasilkan daripada video yang tidak dirakam menggunakan mod ini. Saya yakin anda sema pernah tersalah tekan bukan slow-mo pada kamera. Dengan AI generatif, bingkai tambahan pada video dijana terus dari peranti untuk menghasilkan kesan slow mo. Bagaimana ini dilakukan dapat anda lihat menerusi video di atas.

Transcript Assist

Aplikasi rakaman audio Samsung boleh menghasilkan transkripsi audio secara automatik. Selepas rakaman dan transkripsi selesai diambil, Transcript Assist boleh menjana rumusan pendek tanpa memerlukan sambungan internet. Amat menjimatkan masa kerana topik dan kandungan dapat dicari menggunakan transkrip yang dihasilkan. Tak perlu lagi mendengar semula rakaman audio panjang ketika saya melakukan temubual bagi tujuan kerja.

Circle To Search with Google

Ini ciri yang saya rasakan paling berguna. Pernahkah anda terjumpa gambar haiwan yang tidak diketahui spesisnya? Beg tangan tetapi tidak tahu di mana ia boleh dibeli? Atau sekadar ingin mengenal pasti objek dalam gambar? Circle To Search with Google boleh melakukan carian dengan hanya menekan butang home (atau talam tatalan di bawah skrin) dan kemudian lukis bulatan pada objek yang ingin dicari. Proses mencari objek yang relevan hanya mengambil masa sekitar satu saat sahaja. Anda tidak lagi perlu mengambil tangkapan layar yang kemudiannya dimuat naik ke Google Lens. Tidak seperti ciri AI Samsung di atas, Circle To Search memerlukan sambungan internet.

Kamera

Kamera utama menggunakan konfigurasi lensa sudut lebar 50MP, ultra sudut lebar 12MP, dan telefoto 3x 10MP. Hanya lensa ultra sudut lebar tidak dilengkapi sistem OIS. Di hadapan pula kamera swafoto 12MP digunakan. Tiada perubahan dilakukan pada sistem kamera kedua-dua model. Kamera utama boleh melalukan zum pada tetapan 0.6X, 1X, 3X, 5X, 10X, dan 30X.

Bateri

Bateri yang disertakan ialah 4900 mAH pada S24+ dan 4000 mAh pada S24 yang besar sedikit berbanding model tahun lalu. S24+ menyokong pengecasan 45W secara berwayar dan 15W secara nirwayar menggunakan format Qi. S24 pula sekadar menyokong pengecasan 25W secara berwayar dan 15W secara nirwayar menggunakan format Qi. Sistem pengecasan boleh dikatakan perlahan untuk peranti mercu sedangkan pesaing Samsung sudah menawarkan pengecasan 120W pada peranti kelas pertengahan mereka.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy S24/S4+
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Tahun ini S24+ adalah penawaran yang agak menarik kerana mempunyai skrin yang setanding S24 Ultra dan bateri yang hanya sedikit lebih kecil, tiada S Pen dan konfigurasi kamera berbeza. Selepas menguji S24+ dan S24 saya belum dapat melihat perbezaan dari segi kelancaran antara cip Exynos 2400 dan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy.

Saya akan cuba mencari sebarang perbezaan apabila peranti ini diulas sepenuhnya kelak. Yang pasti tahun ini ialah tahun Galaxy AI dengan ciri AI terbina akan menjadi pertaruhan siri S24 tahun ini bagi menghadapi cabaran daripada pengeluar lain yang tidak kurang hebatnya.

Di Malaysia jualan Samsung Galaxy S24 dibuka hari ini dengan harga jualan RM4099 untuk 12/256GB, RM4599 untuk 8/512GB dalam pilihan warna tujuh pilihan warna. Sementara itu Samsung Galaxy S24+ pula dijual pada harga RM4899 untuk (12/256GB) dan RM5399 untuk 12/512GB.

Pro

  • Skrin akhirnya LTPO dan setanding S24 Ultra dengan bezel yang semakin nipis.
  • Pelbagai ciri AI terbina yang menakjubkan kemampuannya.
  • Prestasi penggunaan Eyxnos 2400 tidak ketara berbeza dengan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy.
  • IP68
  • Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Rekaan yang tidak banyak bezanya dengan model tahun lalu.
  • Spesifikasi kamera yang juga sama seperti tahun lalu.
  • S24 hanya menyokong pengecasan 25W.

  • Pra-Tempah :
Komen