Xiaomi adalah sebuah jenama yang sentiasa menyuntik nilai tambah ke dalam keluaran peranti terbaru mereka dari masa ke masa untuk penghasilan peranti yang lebih inovatif. Justeru itu, Xiaomi kini telah melancarkan pula siri Redmi 13 mereka yang dikatakan hadir dengan penawaran spesifikasi, perisian dan prestasi keseluruhan yang mampu menjadikannya antara peranti yang terbaik dalam kelasnya. Jadi dalam artikel kali ini, saya akan kongsikan ulasan Redmi Note 13 5G berdasarkan pengalaman menggunakannya.
SPESIFIKASI
Redmi Note 13 5G | |
---|---|
Skrin | 6.67” AMOLED, FHD+, 120Hz |
Pemproses | MediaTek Dimensity 6080 (6nm) |
Cip | 2×2.4 GHz Cortex-A76 6×2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 MC2 |
RAM | 8GB RAM (+4GB RAM Maya) |
Muatan Dalaman | 256GB ROM |
Kamera Utama | 108MP f/1.8, OIS (Utama) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 2MP f/2.4 (Makro) |
Kamera Swafoto | 16MP |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | IP54 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari pada butang kuasa |
Harga Jualan | RM 1099 (8GB/256GB) |
REKAAN
Saya mulakan ulasan Redmi Note 13 5G ini dengan reka bentuknya yang dilihat kemas dan tampak mempesonakan. Malah, apa yang lebih menambat hati tentang reka bentuk peranti ini adalah saiznya yang ringan iaitu seberat 173.5 gram serta selesa dalam genggaman. Bentuknya juga nipis dengan ketebalan 7.6 mm yang menjadikannya mudah untuk dikendalikan dan tidak terasa kekok semasa dipegang.
Tetapi rekaan pada tubuh peranti tidak ada yang terlalu istimewa, di mana ia hadir dengan bahagian belakang dan sisi yang rata tetapi masih terlihat kukuh dan berkualiti. Terdapat juga kemasan matte dengan kesan berkilau pada pada bahagian tubuh belakang yang menjadi penambah kepada nilai kosmetik Redmi Note 13 5G ini.
Kemudian terdapat dua bonggol kamera yang bonjolonnya tidak terlalu berlebihan dengan lingkaran petak yang terlihat seperti kaca sekaligus memberikan kesan anggun dan canggih pada tubuh peranti. Bulatan hitam kecil di sebelah bonggol kamera adalah satau lagi lensa sebagai pelengkap kepada ciri “triple camera” dan terdapat juga logo penjenamaaan 108MP serta satu lagi bulatan LED di bawahnya.
Walaupun perkara ini hanya nilai tambah kecil pada rekaan peranti tetapi ia secara tidak langsung telah memberi nilai estetika yang tersendiri kepada rekaannya. Bukan itu sahaja, saya secara peribadi memang gemar dengan tubuh peranti yang menggunakan kemasan matte kerana ia bukan sahaja menjadikan peranti terlihat premium malah menghalang kesan kotoran cap jari.
Pada bahagian sisi kiri terdapat butang kuasa dan juga laras suara. Di sisi kanan terdapat slot untuk dwi kad SIM. Susunan pembesar suara dan port usb-C pula adalah di bahagian bawah manakala di bahagian atas pula adanya bicu audio 3.5mm dan pemancar infra merah.
Redmi Note 13 5G didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu Artic White, Graphite Black dan Ocean Teal. Unit yang saya gunakan untuk tempoh seminggu penggunaan ini ialah warna Ocean Teal yang pada hemat saya lebih kepada nampak seperti kehijauan. IP54 kalis air dan habuk di mana ia memberi jaminan akan tetap responsif walaupun dalam keadaan hujan.
SKRIN
Skrin bersaiz 6.67” AMOLED serta kadar segar semula 120Hz yang memberikan pengalaman penggunaan keseluruhan terasa lancar dan pengalaman visual baik. Namun, ketiadaan sokongan HDR adalah sedikit mengecewakan tetapi kekecewaan ini boleh diubati dengan kadar segar semula yang mengagumkan dan sentiasa memberikan kelancaran yang baik sepanjang tempoh penggunaan.
Tetapi, saya tak nafikan dengan tiadanya sokongan HDR, menjadikan ketajaman warna dan kontras pada paparan adalah sedikit rendah namun tidaklah mengecewakan. Skrinnya juga hadir dengan perlindungan Corning Glass 5 yang bertindak memberikan ketahanan daripada calar yang lebih baik berbanding Gorilla Glass 3 yang digunakan pada Redmi Note 12 sebelum ini.
PENGIMBAS CAP JARI
Terdapat sokongan imbasan cap jari terbina pada butang kuasa. Dapat mengesan dengan pantas tanpa sebarang masalah asalkan jari tidak dalam keadaan basah
PERISIAN & PENGGUNAAN
Perisian peranti pastinya salah satu aspek penting dalam ulasan pengalaman penggunaan peranti. Justeru itu, Redmi Note 13 5G ini menggunakan sistem operasi MIUI 14 yang berasaskan kepada Android 13. Walau bagaimanapun, saya dapati banyak aplikasi permainan yang tidak diingini telah dimuatkan. Tetapi, aplikasi berkenaan boleh saja dinyah pasang jika tidak diinginkan.
Sepanjang tempoh penggunaan, MIUI 14 adalah sistem operasi yang tidak mengecewakan dan memberikan pengalaman penggunaan yang lancar serta antara muka yang kemas. Sepanjang tempoh seminggu saya menggunakan peranti ini, saya tidak berhadapan dengan sebarang masalah lengah masa meskipun saya menjalankan beberapa aplikasi secara serentak dalam satu masa.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Peranti ini juga dipacu oleh cip pemproses MediaTek Dimensity 6080. Saya tidak mahu katakan kesemua aplikasi boleh dibuka dengan hanya sekelip mata tetapi apa yang boleh saya katakan ialah kepantasan tindak balasnya tetap stabil dan tiada ralat. Cip pemproses MediaTek Dimensity 6080 yang digunakan pada peranti boleh memberikan keupayaan prestasi yang memuaskan tetapi mungkin tidak dapat memenuhi jangkaan permain permua yang ekstrem tetapi untuk penggunaan harian biasa tiada sebarang masalah.
Peranti ini juga dilengkapi dengan konfigurasi 2×2.4 GHz Cortex-A76 + 6×2.0 GHz Cortex-A55 yang dipadankan dengan GPU Mali-G57 MC2. Redmi Note 13 5G ini juga dilengkapi dengan memori 8GB RAM dan 256GB storan yang saya rasakan sebuah penyediaan ruang simpanan memori yang cukup untuk keperluan penggunaan harian biasa. Memainkan permua pada peranti juga adalah lancar dan tiada isu lengah masa ketika sesi permainan dijalankan. Sekali lagi saya ingatkan ini adalah pada kadar penggunaan bermain permua yang biasa dan bukan pada kadar penggunaan ekstrem.
Antara permua yang saya uji adalah seperti Asphalt 9 dan Call Of Duty .Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi yang dipersembahkan. Kualiti grafik pada permua yang dimainkan juga adalah baik dan isu pemanasan melampau tidak berlaku.
Bagi mendapatkan penanda aras kepada prestasi peranti, saya menggunakan AnTuTu 3D dan Geekbench 6 sahaja kerana 3DMark tidak menyokong ujian penanda aras pada peranti ini. Berikut adalah perbandingan setiap penanda aras yang saya lakukan dengan dua lagi peranti yang memiliki tingkat harga yang sama.
AnTuTu 3D
- Redmi Note 13 5G – 414,290
- Vivo Y36 5G – 368,767
- OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – 400,999
Geekbench 6
- Redmi Note 13 5G – 776/2019
- Vivo Y36 5G – 648/1638
- OnePlus Nord CE 3 Lite 5G – 876/1972
KAMERA
Seperti biasa, setiap kali menguji sebuah peranti dan ingin menulis ulasan mengenainya, bahagian kamera adalah bahagian yang paling saya gemari. Red Note 13 5G memiliki kamera dengan 108MP dan 8MP ultra-lebar dengan tambahan kamera makro 2MP manakala kamera hadapan pula 16MP. Persediaan kamera pada peranti ini dilihat telah ditambah baik walau bagaimanapun tidaklah sepenuhnya memuaskan.
Naik taraf sensor utama pada kamera iaitu 108MP semestinya mampu bertindak menghasilkan gambar dengan keperincian yang lebih baik. Kamera dalaman pula adalah 2MP yang saya rasakan bakal memberi kegembiraan kepada peminat fotografi makro. Tetapi, saya harus jujur disini, bagi mereka yang mengharapkan lebih untuk kemampuan kamera pada telefon pintar, maka Redmi Note 13 5G ini bukanlah pilihan yang saya dapat sarankan. Saya katakan begitu kerana, hasil tangkapan gambarnya pada saya biasa saja dan warnanya juga sedikit pudar.
Hasil gambar dalam mod malam ketika pencahayaan malap agak mengecewakan dimana keperincian gambar tidak begitu terjaga. Gambar tampak lembut dan gelap dimana apa yang dapat saya simpulkan di sini, kemampuan kamera untuk gambar malam dan kawasan gelap tidak begitu cemerlang walaupun sensor utama dilengkapi OIS. Di sini nampak sebab mengapa peranti ini dijual pada harga yang murah kerana prestasi kameranya sekadar sederhana sahaja.
Kamera hadapan peranti pula hadir dengan 16MP yang kurang memuaskan pada tangkapan dalam ruang gelap atau waktu malam tetapi hasil yang masih baik ketika dalam keadaan pencahayaan yang terang.
BATERI
Peranti ini turut menyokong pengecasan pantas 33W dengan kapasiti 5000mAh. Lebih kurang 30 minit masa yang diambil untuk mengecas peranti dari 50% kepada 100%. Bagi penggunaan harian biasa, jangka hayat bateri boleh bertahan sehingga dua hari. Tetapi jika menggunakannya untuk menjalankan permua dengan kerap atau menonton video dalam tempoh yang terlalu lama akan menghabiskan peratusan bateri dengan kadar yang lebih pantas.
Jadi, pada hemat saya tiada masalah tentang bateri peranti meskipun pengecasan 33W tetapi baterinya mampu bertahan agak lama. Meski prestasi bateri agak baik tetapi Redmi Note 13 5G ini tidak menyokong pengecasan tanpa wayar.
PERANTI PESAING
Redmi Note 13 5G | Vivo Y36 5G | OnePlus Nord CE 3 Lite |
6.67” AMOLED, 2400 x 1080, 120Hz, 1000 nits | 6.44″ IPS LCD, 60Hz 1080 x 2388 pixel (~395 ppi) | 6.72″ IPS LCD 120Hz 1080 x 2400 piksel (~391 ppi) |
MediaTek Dimensity 6080 (6nm) 2×2.4 GHz Cortex-A76 6×2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 6020 (7nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 695 (6 nm) 2 x 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 x1.7 GHz Kryo 660 Silver |
Mali-G57 MC2 | Mali-G57 MC2 | Adreno 619 |
6/8 GB LPDDR4X | 8GB RAM | 8GB RAM |
128/256 GB ROM | 256GB ROM | 256GB ROM |
Kamera Utama 108MP, f/1.7,OIS (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2, (Ultra Sudut lebar) 2MP, f/2.4, (Makro) | Kamera Utama 50MP, f/1.8 (Lebar) 2MP, (Kedalaman) | Kamera Utama 108MP, f/1.8, (Lebar) 2MP, f/2.4, (Makro) 2MP, f/2.4, (Kedalaman) |
Kamera Hadapan 16MP f/2.4 | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 16MP f/2.4 |
IP54 | IP54 | Tiada |
Bicu audio | Bicu audio | Bicu audio |
Audio Stereo | Audio Mono | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 33W) | 5000 mAh (Berwayar 44W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) |
RM1099 (8GB/256GB) | RM1099 (8GB/256GB) | RM1099 (8/256GB) |
APA DALAM KOTAK?
- 1x Redmi Note 13 5G
- 1x Pengecas 33W
- 1x Kabel USB-A ke USB-C
- 1x Kerangka matte
- 1x Pin SIM
- 1x Set buku panduan / keselamatan
KESIMPULAN
Setelah seminggu saya menggunakan Redmi Note 13 5G, pada hemat saya peranti ini berbaloi untuk dimiliki kerana ia menawarkan prestasi dengan harga yang setara. Reka bentuk yang anggun, kualiti binaan juga kukuh, kapasiti bateri 5000mAh yang cukup besar dan cip MediaTek Dimensity 6080 yang memuaskan cuma mungkin kurang memuaskan untuk mereka yang suka memainkan permua secara ekstrem. Kamera juga tidaklah mengecewakan dan tetap berada pada tahap yang baik serta dijamin dapat berfungsi sebagai peranti harian yang baik. Redmi Note 13 5G kini dijual dengan harga RM1099.
PRO
- Prestasi yang memuaskan cip Dimensity 6080
- Bezel nipis
- Ketahanan bateri yang baik
- Ada bicu audio 3.5mm
- Kalis percikan air IP54.
KONTRA
- Pengecasan hanya 33W
- Tiada sokongan mod HDR
- Kemampuan kamera sekadar sederhana.