Cari @ Amanz

Saya kini berada di dalam pesawat dalam perjalanan dari Dubai ke San Francisco bagi menghadiri acara Samsung Unpacked. Hari ini saya baru sedari sistem hiburan dalam pesawat (IFE) yang digunakan oleh pesawat Boeing 777-300 milik Emirates menyokong aksesori audio bluetooth.

Setahu saya tiada pengumuman dilakukan oleh Emirates memberitahu penumpang sistem IFE mereka kini menyokong audio nirwayar. Saya sendiri hanya terjumpa secara tak sengaja sokongan bluetooth ketika meneroka skrin tetapan IFE kerana kebosanan. Yang menariknya bagi saya sokongan ini diberikan kepada IFE penumpang kelas ekonomi.

Sejak lebih sedekad yang lalu saya akan membawa fon kepala berwayar apabila menaiki pesawat kerana hanya fon kepala dari jenis ini disokong oleh IFE. Alasan yang diberikan syarikat penerbangan sebelum ini ialah bluetooth mengganggu sistem elektronik dalam pesawat. Oleh itu sambungan 3.5mm sahaja boleh dilakukan.

Proses menyabungkan aksesori bluetooth kepada sistem IFE adalah sama sahaja seperti yang dilakukan pada telefon pintar, tablet dan komputer riba. Cari skrin tetapan audio pada sistem IFE. Pada pesawat Emirates ia terpampang jelas sebagai “Bluetooth audio” pada senarai menu IFE. Aktifkan bluetooth pada IFE dan pastikan aksesori audio dalam pairing mode. Aksesori audio akan muncul pada skrin IFE dan pilih untuk menyambungnya.

Saya sempat melakukan carian Google sebentar tadi dan setakat ini hanya Air France, American Airlines, Delta, Emirates, Lufthansa, Qatar, dan United Airlines memberikan sokongan bluetooth pada sistem IFE yang dinaik taraf selepas pandemik. American Airlines adalah yang pertama menawarkannya pada tahun 2021.

Jadi sekiranya anda kerap menaiki pesawat tujuh syarikat penerbangan di atas, anda tidak lagi perlu risau jika tertinggal kabel 3.5mm. Fon telinga dan kepala bluetooth yang ada miliki sekarang serasi dengan IFE dalam kabin.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd