Casio mengeluarkan jam tangan edisi terhad G-Shock MTG-B3000CXD sempena perayaan Tahun Baharu Cina bulan hadapan. Rekaan yang digayakan kelihatan tidak keterlaluan seperti kebiasannya sebelum ini. Ia menggabungkan kerangka tubuh tahan lasak yang disambung pula pada tali diperbuat daripada bahan bergetah.
Terdapat juga motif sisik naga pada kerangkanya yang berwarna kuning keemasan. Simbolik penggunaan motif naga sering dianggap sebagai simbol keberanian dan kekuatan. Sementara itu keluli tahan karat bersalut ion yang digunakan pada bezel dan bahagian belakangnya turut menjadikannya jam tangan ini lebih istimewa berbanding yang lain. Edisi terhad ini turut didatangkan bersama kotak hitam khas untuk sentuhan eksklusif tambahan.
Ciri standard seperti tahan hentakan, kebolehan dibawa menyelam sehingga 200 meter, Multi-Band 6 bagi pelarasan masa automatik dan Tough Solar Power turut diberikan. Ia juga boleh disambungkan ke telefon pintar melalui Bluetooth untuk mengakses lebih banyak fungsi.
Bagi yang berminat ia dijual pada harga RM5,688 dengan ketersediaan bermula penghujung Januari ini.