Cari @ Amanz

OpenAI, syarikat pelopor teknologi kecerdasan buatan yang terkenal untuk perisian kecerdasan buatan ChatGPT yang dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat teknologi besar yang lain seperti Microsoft baru-baru ini telah mengemaskini terma dan syarat mereka untuk memperluaskan penggunaan teknologi tersebut.

Menurut beberapa laporan, OpenAI baru-baru ini telah mengemaskini terma dan syarat tersebut untuk membenarkan teknologi kecerdasan buatan mereka untuk digunakan bagi tujuan ketenteraan dan juga peperangan.

Sebelum ini, terma OpenAI menyatakan bahawa teknologi mereka tidak boleh digunakan untuk tujuan tersebut, dan untuk membangunkan sebarang jenis senjata ataupun apa-apa perkhidmatan yang boleh digunakan untuk menyebabkan kemudaratan terhadap orang ramai.

OpenAI
OpenAI

Kemaskini terbaru ini memperlihatkan pembuangan terma larangan kegunaan untuk tujuan ketenteraan dan peperangan, tetapi larangan membina senjata dan perkhidmatan yang memudaratkan orang ramai masih lagi dikekalkan.

Ini mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan khususnya apabila banyak pihak tentera di beberapa negara sudahpun mula memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan untuk membangunkan teknologi pengawasan.

OpenAI telah mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini, dan mengatakan bahawa kemaskini adalah untuk membangunkan satu set prinsip yang boleh diikuti oleh semua pihak yang mahu membangunkan teknologi kecerdasan buatan mereka sendiri menggunakan GPT.

Walaupun teknologi ini boleh digunakan oleh pihak tentera sekarang, OpenAI masih lagi melarang teknologi kecerdasan buatan mereka daripada digunakan untuk membina senjata, dan perkara ini dilaporkan akan dikawal dengan ketat oleh mereka.

Kontrak ketenteraan, khususnya untuk tentera Amerika Syarikat adalah lubuk wang yang sangat besar, dengan syarikat-syarikat gergasi seperti Microsoft juga mempunyai kontrak dengan Department of Defense. Samada ini adalah permulaan OpenAI untuk memasuki industri ketenteraan tidak diketahui lagi, tetapi perubahan polisi ini dilihat membolehkan mereka untuk mendapatkan kontrak-kontrak baru yang sangat lumayan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd