Carian
The400 Mini Ialah Konsol Permainan Retro Yang Memainkan Permainan Atari
January 15, 2024 Nazrin

Ramai daripada anda mungkin masih belum lahir apabila konsol permainan Atari 400 diperkenalkan pada tahun 1979. Ia adalah diantara konsol permainan video pertama di dunia, memperkenalkan permainan-permainan video seperti Pac-Man, Frogger dan Space Invaders kepada kanak-kanak di generasi tersebut.

Terkini, syarikat pembuat konsol permainan retro moden, Retro Games Ltd telah mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan sebuah konsol retro baru yang mempunyai rekabentuk hampir serupa dengan konsol Atari 400 yang dinamakan The400 Mini.

Konsol The400 Mini ini hadir dengan alat kawalan dengan rekaan tradisional juga dan boleh disambungkan kepada konsol melalui salah satu daripada lima palam USB yang terbina pada konsol tersebut. Ia juga dilengkapi dengan palam HDMI yang membolehkan konsol ini disambungkan kepada paparan skrin ataupun televisyen moden.

Dari segi penawaran permainan video, Retro Games Ltd mengatakan bahawa The400 Mini akan hadir dengan penawaran 25 permainan video retro dan melalui palam USB tersebut, pengguna juga boleh memuatkan ROM permainan-permainan Atari dari konsol Atari 400, Atari 800, Atari XL, Atari XE dan Atari 5200.

Retro Games Ltd mengatakan bahawa konsol The400 Mini ini akan dilancarkan di rantau Eropah terlebih dahulu pada harga $119.99 (~RM550).

Komen