Baru-baru ini, CEO ARM, Rene Haas telah mengeluarkan kenyataan bahawa persetujuan eksklusif diantara Microsoft dan Qualcomm untuk menguasakan komputer riba dengan sistem operasi Windows on ARM akan tamat secara rasminya pada tahun ini.
Beliau mengatakan bahawa perjanjian tersebut, yang dimeterai sekitar dua tahun lalu akan tamat pada tahun ini, dan syarikat-syarikat pembuat cip pemprosesan lain akan boleh mula mengeluarkan cip pemprosesan komputer riba ARM tidak lama lagi. Haas mengatakan bahawa syarikat-syarikat seperti AMD dan NVIDIA sudahpun mula merekacipta cip pemprosesan ARM mereka sendiri untuk peranti Windows on ARM.
Ini bermakna bahawa syarikat-syarikat pembuat komputer riba ARM seperti Acer, Lenovo, HP dan sebagainya akan boleh mula membangunkan komputer riba Windows for ARM menggunakan cip pemprosesan daripada syarikat-syarikat selain daripada Qualcomm tidak lama lagi.
Penambahan pesaing dalam segmen ini juga dilihat akan memastikan Qualcomm kekal kompetitif dalam membangunkan cip ARM untuk komputer yang lebih baik kerana kritikan yang dikenakan terhadap mereka kerana prestasi tidak sebaik yang dijangkakan.
AMD dan NVIDIA dijangka akan memperkenalkan penawaran ARM mereka seawal kontrak diantara Qualcomm dan Microsoft berakhir pada tahun ini, manakala MediaTek yang secara lazimnya hanya membangunkan cip pemprosesan untuk peranti pintar juga dijangka akan membangunkan komponen untuk komputer riba Windows on ARM kelak.