Microsoft mengumumkan perubahan besar pada papan kekunci dengan menambah kekunci Copilot khusus baharu. Butang tersebut akan menyediakan akses pantas kepada pengguna untuk sokongan Copilot pada komputer riba Windows 11. Seterusnya dikatakan pengeluar komputer Windows 11 akan mengintegrasikan kekunci ini pada papan kekunci bermula Februari hadapan.
Walau bagaimanapun penambahan ini dikatakan tidak diwajibkan, dalam masa sama pembangun juga bebas memilih lokasi peletakannya pada papan kekunci. Ini bermakna peletakan butang ini berbeza bergantung kepada pengeluar tetapi kebanyakannya menyasarkan pada sebelah kanan Space Bar yang bertentangan dengan kekunci Windows.
Dalam sesetengah keadaan pula kekunci ini boleh menggantikan papan kekunci sedia ada, misalnya seperti butang CTRL pada papan kekunci yang besar. Terdapat juga sesetengah situasi lain, Co-Pilot mungkin boleh berkongsi dengan kekunci Menu dengan menekan kekunci Fn + Copilot.
Perkara ini jelas menunjukkan bahawa Microsoft memberi fleksibiliti kepada pengeluar komputer riba. Siri Acer Aspire dan Swift baharu merupakan antara komputer riba yang dilengkapi butang Copilot khusus pada papan kekunc setakat ini.
- Sumber – Drwindows.de (melalui xda-developers.com)