Cari @ Amanz

Siri peranti pintar gaming ASUS ROG Phone kini sudah memasuki iterasi kelapannya dengan ASUS ROG Phone 8. Peranti gaming generasi kelapan ini dilihat kekal dengan spesifikasi kelas premium yang merumahkan gabungan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon terbaru dan juga pilihan memori dan storan yang besar.

Akan tetapi ia juga kini semakin elegan berbanding dengan model-model sebelum ini yang dilihat sangat agresif dari segi binaan dan juga rekaan. Saya mempunyai beberapa pendapat mengapa ASUS mengambil keputusan untuk memperkenalkan rekaan sebegini untuk peranti ini, dan saya akan memberikannya didalam ulasan ini.

Spesifikasi

ASUS ROG Phone 8
Skrin6.78″ AMOLED, 165Hz
1080 x 2400 pixels
PemprosesSnapdragon 8 Gen 3 5G (4 nm)
Cip1 x 3.3 GHz Corteax-X4
5 x 3.2 GHz Cortex-A720
3 x 2.3 GHz Cortex-A520
Cip GrafikAdreno 750
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.9, (lebar), PDAF
13 MP, f/2.2, (ultra-lebar)
5 MP, f/2.0 (makro)
Kamera Swafoto32MP f/2.5
Bateri5500 mAH
Berwayar 65W
Nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioAda
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas cap jari
Imbasan Wajah
Harga JualanRM3,999 (12/256GB)

Bermula dengan spesifikasi ASUS ROG Phone 8 ini, ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang terbaru, dan model yang kami ada dilengkapi dengan 12GB memori LPDDR5 dan juga storan dalaman sebesar 256GB.

Untuk pasaran tempatan, ASUS Malaysia memberitahu kami bahawa peranti ini akan hadir dengan dua lagi penawaran memori dan storan lain, termasuklah 16GB/512GB dan 24GB/1TB. Model yang dipegang kami mungkin adalah model asas, tetapi kami jangkakan bahawa prestasi peranti ROG Phone 8 ini masih akan tampil dengan prestasi yang cukup hebat sekali.

Dalam pada itu, ROG Phone 8 juga dilengkapi dengan paparan skrin Samsung Flexible AMOLED bersaiz 6.78 inci dengan resolusi FHD+ (2400×1080) dan juga kadar segar semula 165Hz yang boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 dan NTSC dan 145 peratus gamut warna sRGB.

Paparan skrin ini juga hadir dengan nilai kecerahan maksima 2500 nit dan menyokong teknologi paparan HDR10 yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai jenis permua dan juga aplikasi-aplikasi video seperti YouTube dan juga Netflix.

Kemampuan utama ROG Phone 8 tampil dari penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang terbaru dan paling berkuasa. peranti ini juga dilihat sebagai salah satu dari sekumpulan kecil peranti yang hadir dengan mod lewah-jam X-Mode yang mampu mengorek prestasi terbaik daripada cip tersebut, dan mengekalkan prestasi tersebut, sesuai untuk sesi gaming yang berpanjangan.

Dalam pada itu, ASUS ROG Phone 8 menggerakkan sistem operasi Android 14 yang terbaru menggunakan antaramuka ROG UI yang dikemaskini juga. Walaupun rekaan peranti kini dilihat kurang bersegi, pek ikon yang diperlihatkan dengan antaramuka ini masih lagi bersegi dan mengekalkan rekaan yang lebih gamer dan agresif.

Perisian Armory Crate juga kembali yang mana ia merumahkan pelbagai tetapan untuk mod lewahjam peranti, tetapan butang haptik sisi Air Trigger, kawalan permainan, aksesori penyejuk AeroActive Cooler X dan juga cadangan permua-permua yang menarik.

Rekaan

Satu perubahan ketara yang diperlihatkan pada peranti ROG Phone 8 ini ialah dari segi rekaannya. Jika peranti ROG Phone sebelum ini hadir dengan rekaan berbucu tajam dan rangka belakang yang agresif, ROG Phone 8 kini hadir dengan rekaan yang lebih kemas dan lebih menyerupai peranti pintar kelas arus perdana.

Rekaan terbaru ROG Phone 8 ini merupakan rekaan peranti generasi ketiga mereka, menggantikan rekaan generasi pertama dan kedua mereka yang digunakan pada peranti ROG Phone pertama sehinggalah ROG Phone 7.

Perbezaan paling ketara yang dapat diperlihatkan dari segi rekaan ialah walaupun ROG Phone 8 kelihatan lebih petak, ia lebih nipis pada ketebalan 1.67mm yang lebih memudahkan peranti ini untuk dipegang. Ia masih lagi menggunakan rangka kaca di bahagian belakang tetapi kini merumahkan modul kamera yang lebih besar dan juga logo ROG yang hadir dengan pencahayaan RGB terbina.

Bagi saya, ini adalah sesuatu yang sedikit menyedihkan kerana salah satu keunikan peranti ROG Phone ialah rekaannya yang agresif. Ia seperti memberikan kenyataan bahawa ASUS adalah pembuat peranti pintar gaming yang lain daripada yang lain di pasaran. Pada pendapat saya, ini adalah kerana ASUS mahu memasarkan peranti ini sebagai peranti kelas premium arus perdana, khususnya kerana jualan siri peranti ini yang memberangsangkan setiap tahun.

Selain daripada itu, ciri-ciri ROG Phone 8 yang lain, seperti butang kelantangan audio, butang kuasa adalah di tempat yang sama seperti peranti sebelum ini. Sama seperti peranti-peranti sebelum ini juga ialah butang haptik Air Trigger yang digunakan untuk pintasan dalam permua.

Sama seperti peranti sebelum ini juga ialah penggunaan dua palam pengecasan USB yang menyokong pengecasan pantas PD 3.0 dan QC 5.0 65W. Pengecasan ini mungkin bukan yang terpantas di pasaran sekarang, tetapi ia masih lagi boleh mengecas peranti dengan agak pantas dan memastikan bahawa bateri mengekalkan jangkahayat yang panjang.

Pengalaman Pengguna

ASUS mungkin telah mengubah rupabentuk peranti ASUS ROG Phone 8 ini, tetapi apabila anda menggunakannya, ia tidak dinafikan ialah sebuah peranti gaming yang sangat berkuasa. Jika peranti ROG Phone 7 sebelum ini memperlihatkan prestasi yang hebat, ROG Phone 8 dilihat mampu mengekalkan prestasi yang sama secara lebih cekap.

Tetapi sebelum itu saya ingin mengatakan bahawa salah satu isu terbesar saya menggunakan peranti ini ialah dengan penggunaan kaca belakang peranti ini. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru, dan pernah saya utarakan dalam ulasan ROG Phone 7 saya sebelum ini. Ya, rekaan baru peranti ini lebih selesa untuk dipegang, tetapi saranan saya ialah untuk anda menggunakan sebuah rangka peranti untuk memastikan genggaman peranti yang lebih selamat.

Dari segi prestasi peranti, ASUS nampaknya telah berjaya dalam mengekalkan prestasi tinggi sewaktu memainkan permua disamping memastikan bahawa suhu peranti tidak begitu tinggi. Dalam ujian kami menggerakkan beberapa permainan seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail dan Call of Duty Mobile, jarang sekali kami melihat suhu peranti lebih tinggi daripada 42-43 darjah Celcius walaupun didalam mod lewahjam X-Mode.

Paling-paling juga, peranti ini hanya berasa suam apabila dipengang sewaktu sesi gaming kami tanpa menggunakan sebarang rangka peranti untuk mengurangkan rasa panas apabila memegangnya. Kadar bingkai permua juga dilihat sangat tinggi dan sesi permainan kami semuanya sangat lancar sekali.

Penggunaan panel OLED juga memastikan bahawa olahan warna video pada peranti ini cukup cantik sekali. Pada peranti bersaiz kecil seperti ROG Phone 8 ini, kejituan olahan warna mungkin bukanlah satu keutamaan, tetapi ia adalah bagus kerana ia memperlihatkan betapa seriusnya ASUS dalam memastikan semua aspek peranti ini dioptimasikan untuk tujuan gaming dan riadah.

Perkara ini khususnya dapat dilihat apabila menonton kandungan HDR di YouTube ataupun Netflix. Satu isu yang mungkin saya ada ialah walaupun ROG Phone 8 menggunakan pembesar suara stereo di kedua-dua belah peranti, ia merupakan pembesar suara yang menghala kebawah, jadi jika peranti dipegang di bahagian bawah, ia akan menutupi ruang pembesar suara tersebut, menyebabkan kualiti audio meredam.

AeroActive Cooler X

Jika anda memiliki sebuah peranti ROG Phone 7 dan sistem penyejukan AeroActive Cooler untuk peranti tersebut, sayangnya sekali lagi ASUS telah memperkenalkan sistem penyejukan AeroActive Cooler X yang dibangunkan khusus untuk ROG Phone 8, dan anda perlu membelinya untuk digunakan bersama-sama dengan peranti baru ini.

Ini adalah kerana rekaan ROG Phone 8 agak berbeza dengan ROG Phone 7 sebelum ini, jadi lekuk-lekuk pada penyejuk AeroActive Cooler sebelum ini tidak boleh dipasang pada peranti terbaru ini. Selak pada penyejuk tersebut tidak akan melekap pada peranti, dan penyejuk tersebut tidak akan diaktifkan.

Untuk aksesori AeroActive Cooler X terbaru, ia hadir dengan rekaan yang lebih langsing. Ia juga hanya mempunyai dua butang berbanding empat pada penyejuk sebelum ini, manakala pembesar suara subwoofer juga dibuang.

Penyejuk AeroActive Cooler X ini perlu dibeli secara berasingan, kecuali jika anda membeli model ROG Phone 8 Pro Edition (berbeza dengan model ROG Phone 8 Pro), yang mana ia akan didatangkan dengan model tersebut secara percuma.

Kecerdasan Buatan

Selain daripada prestasi peranti, satu teknologi baru yang diperlihatkan pada ASUS ROG Phone 8 ialah penggunaan kecerdasan buatan. Pada peranti ini, teknologi kecerdasan buatan digunakan di beberapa bahagian, termasuklah didalam perisian Game Genie dan juga pada bahagian kamera.

Untuk bahagian permua, ASUS telah mengemaskini perisian XSense 2.0 untuk membolehkan peranti untuk mengautomasi sejumlah aktiviti dalam permainan yang memudahkan pengguna untuk melakukann tugasan-tugasan yang remeh seperti mempercepatkan perbualan didalam permainan.

Setakat ini dua permua yang dilihat mempunyai sokongan baik untuk ciri XSense 2.0 ialah Genshin Impact dan Honkai Star Rail. Pengguna boleh menggerakkan watak dalam permainan secara automatik, mengutip barang dan mempercepatkan dialog tanpa memerlukan sebarang input.

Satu lagi ciri kecerdasan buatan dalam permainan ialah AI Grabber. Melalui menu Game Genie, ciri ini boleh digunakan untuk mengimbas teks dalam permainan, khususnya teks quest untuk mencari panduan permainan di Google untuk cara-cara menyelesaikan quest tersebut.

ROG Phone 8 turut memperkenalkan ciri AI Semantic Search untuk carian dalam peranti yang lebih mudah. Daripada menggunakan carian khusus, pengguna boleh menggunakan carian konteks untuk mencari aplikasi ataupun ciri-ciri peranti yang dimahukan.

Sebagai contoh, carian “Travel” akan memberi hasil carian aplikasi-aplikasi berkaitan dengan pelancongan. Malah, carian AI Semantic Search ini juga boleh membantu dengan carian dalam konteks walaupun dengan “typo”.

Terdapat juga beberapa fungsi lain yang menggunakan kecerdasan buatan, tetapi ini adalah diantara contoh-contoh yang bagi saya lebih menarik untuk dikongsikan bersama anda.

Bateri

Berbanding dengan ROG Phone 7 yang mempunyai bateri 6000mAH, ROG Phone 8 hadir dengan bateri yang lebih kecil pada 5500mAH. Menurut ASUS, kapasiti yang lebih kecil ini tidak memberi begitu banyak kesan terhadap penggunaan harian.

Dengan peranti ROG Phone 8 ini, saya boleh mendapatkan sekitar 9 jam masa skrin terpasang, tetapi jika saya menggerakkan permua untuk jangka-masa panjang, nilai tersebut boleh berkurang ke 4-5 jam dengan satu pengecasan penuh

Ini bukanlah suatu isu yang besar, kerana pengecasan 65W ROG Phone 8 ini boleh mengecas peranti ini dari kosong ke penuh dalam masa sekitar 30-40 minit tanpa masalah.

Dari segi suhu peranti pula, kebanyakan kalinya apabila saya menggerakkan sejumlah permua, suhu peranti jarang sekali melebihi 40-42 darjah Celcius, akan tetapi satu insiden apabila saya memuat-turun kemas kini fail Honkai: Star Rail, suhu peranti meningkat ke 50-52 darjah Celcius, iaitu suhu panas yang mana saya tidak boleh pegang langsung peranti ini.

Kamera

Kamera ASUS ROG Phone 8 juga memperlihatkan penaiktarafan dari segi sensor yang digunakan. Ia kini tampil dengan sensor Sony IMX 890 pada kamera utama 50MP. Untuk model ROG Phone 8 asas yang kami ulas ini, ia juga tampil dengan 13MP ultra-lebar dan sensor mikro 5MP. Untuk model ROG Phone 8 Pro dan ROG Phone 8 Pro Edition, lensa mikro menggunakan sensor 32MP.

Gambar dengan cahaya yang mencukupi adalah seperti yang disangka, tetapi apa yang lebih mengejutkan ialah

Penanda Aras

Berikut ialah beberapa skor perisian penanda-aras yang kami gunakan untuk menguji kemampuan pemprosesan peranti ASUS ROG Phone 8.

3DMark Wild Life Extreme

GeekBench 6

AnTutu

Dalam Kotak

Ini adalah apa yang anda akan terima di dalam kotak apabila membeli peranti ASUS ROG Phone 8:

  • 1x ASUS ROG Phone 8
  • 1x Pengecas USB-C 65W
  • 1x Kabel USB-C
  • 1x Rangka Silikon

Penutup

ASUS ROG Phone 8 merupakan percubaan ASUS dalam memperkenalkan peranti kelas gaming premium dengan rekaan yang lebih kemas. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya berasa sedikit terkilan dengan keputusan ini, kerana keunikan pada siri peranti ASUS ROG Phone seakan hilang dengan rekaan yang lebih diperkemas ini.

Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa ROG Phone 8 masih kekal dengan DNA gamer dari segi prestasi dalaman yang digabungkan dengan paparan OLED yang menawan dan kadar segar semula tinggi yang berguna untuk permua-permua yang menyokongnya.

Pada tanda harga RM3999, ASUS ROG Phone 8 kini boleh dilihat dan digelar sebagai sebuah peranti perdana kelas premium yang setaraf dengan peranti premium jenama-jenama yang lain. Untuk pasaran Malaysia, tiga model ASUS ROG Phone 8 akan diperkenalkan, termasuklah ASUS ROG Phone 8 asas, ASUS ROG Phone 8 Pro dan ASUS ROG Phone 8 Pro Edition yang tampil dengan memori 24GB dan storan 1TB.

Pro:

  • Prestasi Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 yang hebat
  • Bateri tahan lama
  • Fungsi kecerdasan buatan yang berguna
  • Tidak memerlukan kipas penyejukan untuk menggerakkan permua pada tetapan tinggi

Kontra:

  • Tiada lagi rekaan peranti yang agresif dan lebih gamer
  • Tiada sokongan untuk aksesori lama (AeroActive Cooler)
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd