TrueMoney kini mengintegrasikan DuitNow QR ke dalam ekosistem pembayarannya. Penambahbaikan ini dilihat mampu meningkatkan kualiti pengalaman pengguna, seterusnya menyediakan kaedah membeli dan pembayaran lebih efisien merentasi pelbagai peniaga. Ini termasuklah kedai runcit atau perniagaan fizikal yang menerima pembayaran melalui kod QR.

Penggunaannya juga mudah dengan hanya buka aplikasi, kemudian cari fungsi “Scan” pada antaramuka utama dan imbas seperti biasa untuk membuat pembayaran. Pengguna bagaimanapun dinasihatkan untuk membuat semakan butiran pembayaran terlebih dahulu bagi mengelakkan dari sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

Berkongsi perancangan akan datang, TrueMoney juga akan menyediakan pilihan perkhidmatan kiriman wang rentas sempadan. Ini merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan fleksibiliti kewangan lebih baik sama ada di dalam atau luar negara. Pun begitu masih tiada jangka masa khusus penawaran didedahkan buat masa ini.

Untuk rekod, TrueMoney merupakan dompet digital di bawah kelolaan anak syarikat Ascend Money Co Ltd (Ascend Money) dengan usaha sama diantara The Charoen Pokphand Group (CP Group) dan Ant Financial (Alibaba). Dompet digital ini boleh didapati di Malaysia melalui Google Play Store dan App Store.