Carian
Ulasan Redmi Buds 5 – Tidak Sempurna Tapi Tidak Pula Mengecewakan
January 24, 2024 Rihhadatul Aisy

Baru-baru ini Xiaomi telah melancarkan Redmi Buds 5 bersama-sama dengan pelancaran telefon pintar siri Redmi Note 13. Semasa mula menerima fon telinga daripada Redmi ini saya agak teruja kerana adalah kali pertama saya berpeluang untuk menguji sebuah peranti aksesori audio daripada Redmi. Menerusi artikel kali ini, saya akan kongsikan ulasan untuk Redmi Buds 5 setelah hampir 2 minggu tempoh penggunaan. 

SPESIFIKASI

Redmi Buds 5
JenisFon dalam telinga
Pemandu11mm woofer + 10mm tweeter
Mikrofon2 mikrofon
Bateri8 jam / 40 jam dengan pod
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECLDHC 5.0 Hi-Res
Sistem operasi disokongAndroid, iOS, MacOS, Windows 10
Sokongan pembantu mayaYa
Pad sesentuhYa
Kemampuan kalis airTiada
Harga JualanRM 199

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Ulasan ini saya mulakan dengan rekaannya yang saya rasakan cukup minimalis dengan warna pastel yang terlihat kemas berserta penjenaman Redmi yang diletakkan di tengah-tengah penutup kerangka pod pengecas. Pod pengecas berbentuk petak dengan lengkungan pada setiap bucu dan juga ringan apabila dipegang. Selain itu, apabila penutup pod pengecas dibuka, lampu LED akan diperlihatkan pada bahagian bawah serta port USB-C pula adalah di bahagian sisi bawah pod pengecas. Pada bahagian sisi kanan juga jika dilihat dengan teliti terdapat satu butang kuasa tersedia untuk tambatan pada peranti baru.  

Walaupun saya telah katakan bahawa warna pastel yang digunakan pada fon telinga nirwayar ini menjadikannya terlihat kemas, tetapi hakikat bahawa dengan warna yang cerah ini pasti akan menjadikannya mudah kotor jika tidak dijaga dengan cermat tidak saya nafikan. Justeru itu, bagi mereka yang tidak gemar dengan fon telinga dengan warna yang cerah kerana faktor sedemikian maka anda tak perlu risau. Ini kerana Redmi Buds 5 juga hadir dengan pilihan warna hitam, putih dan biru.

Selain itu, jika dilihat dari aspek keselesaan pula,  fon telinga ini memiliki cengkaman yang baik dalam telinga dimana ia tidak mudah tercabut dan dalam banyak keadaan ia masih kekal tersemat baik dalam telinga. Jadi saya rasakan tiada masalah untuk menggunakannya ketika melakukan aktiviti yang memerlukan banyak pergerakan seperti bersukan. Memakai fon telinga ini dalam jangka masa yang lama juga tiada masalah kerana ia selesa dan tidak menyebabkan kesakitan. 

Melihat kepada rekaan, Redmi Buds 5 memiliki pad sesentuh pada setiap putik audio yang menyokong pelbagai sokongan gestur. Kawalan sentuhannya cukup sensitif serta dapat berfungsi dengan lancar tanpa sebarang ralat yang menjengkelkan. Rekaan putik silikon Redmi Buds 5 ini juga berfungsi dengan baik di mana sebaik saja ia dimasukkan ke dalam telinga, kepuasan mendengar audio dalam mod pembatalan hingar akan dapat dinikmati.

Kemasan tubuh adalah dengan rekaan matte yang tidak memberikan kesan berkilau tetapi nampak bersih dan minimalis serta tidak mudah calar. Tambahan lagi, Redmi Buds 5 ini menyokong tambatan Bluetooth 5.3 dan turut menyokong sambungan pintar dwi-peranti secara serentak.

KUALITI AUDIO

Kemudian, beralih kepada bahagian yang paling penting bagi sebuah fon telinga nirwayar iaitu tentang kualiti audionya. Redmi Buds 5 memberikan kualiti audio yang baik dan cukup memuaskan hati sepanjang tempoh penggunaan. Pengalaman mendengar muzik dan audio pada video juga adalah cukup tajam pada paras yang sederhana. Tetapi jika audio dipasang terlalu kuat, saya dapati terdapat sedikit perbezaan kualiti pada audio yang dimainkan di mana ia kedengaran kurang lunak.

Tambah pula saya seorang yang gemar mendengar muzik pada banyak masa, misalnya ketika melakukan kerja-kerja rumah, sebelum tidur malah tatkala saya sedang menaip ulasan ini juga muzik sedang dimainkan sebagai peneman. Justeru itu, pengalaman mendengar muzik yang sedap pada pendengaran adalah perkara penting untuk saya. Demikian itu, sepanjang tempoh dua minggu menggunakan Redmi Buds 5 ini, saya boleh katakan yang saya berpuas hati dengan prestasi kualiti audio yang diberikan walaupun tidak sempurna.

KAWALAN DAN APLIKASI

Proses sambungan ke peranti pintar boleh saja terus dibuat dengan sambungan bluetooth tanpa perlu memuat turun sebarang aplikasi. Tetapi untuk memulakan proses sambungan ini, bahagian penutup pod pengecas perlu dibuka serta pastikan lampu LED menyala dan berkelip beberapa kali sebagai tanda ia sudah sedia untuk ditambat pada sebuah peranti. 

Redmi Buds 5 ini hadir dengan sokongan kawalan sesentuh yang mudah dan langsung tidak rumit untuk diaplikasikan ketika penggunaan. Pelbagai jenis gestur seperti dwi-tap, tri-tap dan menekan lama pada bahagian tangkai fon telinga boleh dilakukan untuk mengawal Redmi Buds 5. Bukan itu saja, apa yang lebih menarik ialah sistem pembatalan hingar aktif dengan penyesuaian adaptif AI juga tersedia.

Tetapi untuk tetapan fungsi kawalan media pada fon telinga ini dengan lebih terperinci serta mengikut keperluan dan keselesaan maka aplikasi Xiaomi Earbuds perlu dimuat turun. Sistem ANC yang terbina pada Redmi Buds 5 ini berupaya membatalkan hingar sehingga 46dB dengan tiga jenis pilihan yang boleh ditetapkan menerusi aplikasi.

Fungsi In-ear Detection juga tersedia membolehkan muzik berhenti secara automatik sebaik sahaja fon telinga ditanggalkan. Apabila fon telinga dipasang semula pada telinga, maka muzik akan dimainkan kembali. Sistem pembatalan hingar juga tersedia dengan tiga tahap untuk mengurangkan gangguan bunyi persekitaran. 

BATERI

Menurut Redmi, fon telinga ini memiliki jangka hayat bateri yang boleh bertahan sehingga 8 jam serta meningkat kepada 40 jam dengan bantuan pod pengecas bersama dengan mod pembatalan hingar aktif (ANC) diaktifkan manakala 10 jam jika ANC dimatikan. Pengecasan pula adalah dengan menggunakan kabel USB-C

DALAM KOTAK

Berikut adalah apa yang disertakan dalam kotak :

  • 1x Redmi Buds 5
  • 1x Set tambahan putik telinga
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
  • 1x Manual

KESIMPULAN

Pada pandangan saya, dengan harga RM199 yang ditawarkan berserta kualiti yang diperdengarkan, saya boleh katakan bahawa Redmi Buds 5 ini berbaloi untuk dibelanjakan pada tingkat harga tersebut. Reka bentuk yang kemas, jangka hayat bateri agak lama, ANC yang bukan sekadar harapan palsu serta kualiti bunyinya juga baik. Jadi, jika anda mahukan sebuah fon telinga dengan kemampuan yang berkualiti dan terbaru yang ada di pasaran sekarang, maka anda mungkin boleh pertimbangkan Redmi Buds 5 ini. Buat masa ini, harga promosi juga ditawarkan iaitu serendah RM149.

PRO 

  • Reka bentuk pod pengecas Redmi Buds 5 yang tampak kemas dan minimalis
  • Kualiti bunyi keseluruhan adalah cukup baik
  • Fungsi pembatalan bunyi bising yang memuaskan

KONTRA

  • Tiada ciri kalis air
  • Tiada ciri khas untuk mod permainan
Komen