Acara Samsung Unpacked akan berlangsung pada awal pagi Khamis waktu Malaysia. Telefon pintar Samsung Galaxy S24, S24+ dan S24 Ultra akan dilancarkan secara rasmi pada acara tersebut. Dengan acara semakin hampir, mula kedengaran beberapa ura-ura bahawa Samsung akan memberikan sokongan kemas kini perisian pada telefon Galaxy selama tujuh tahun.

Pada ketika ini telefon Samsung diberikan kemas kini tampalan sekuriti selama lima tahun dan kemas kini Android selama empat tahun. Google memberikan sokongan kemas kini sehingga tujuh versi Android pada peranti Pixel 8 dan Pixel 8 Pro tahun lalu. Tidak diketahui sama ada Samsung akan sekadar memberikan tampalan sekuriti selama tujuh tahun atau mengikuti langkah Google.
Ura-ura tiba selepas Apple memintas Samsung sebagai pengeluar telefon pintar terbesar dunia pada tahun 2023. Adakah penawaran sokongan perisian lebih lama dan setanding yang diberikan kepada iPhone ini akan dapat menarik minat orang ramai untuk membeli peranti Galaxy? Ini hanya sekadar ura-ura dan kebenarannya akan terungkai di acara Unpacked beberapa hari sahaja lagi.