Laporan daripada The Elec di Korea Selatan hari ini mengatakan bahawa LG Display dan Samsung Display sedang membangunkan komponen TFT untuk paparan OLED yang digunakan pada peranti Apple iPad Pro generasi terbaru yang akan dilancarkan pada tahun ini.
Kedua-dua syarikat ini juga dilaporkan telah diminta untuk membangunkan komponen paparan untuk saiz iPad yang berbeza. LG Display akan membangunkan paparan untuk iPad Pro 13 inci, manakala Samsung Display pula akan membangunkan paparan untuk iPad Pro model 11 inci.
Setakat ini terdapat beberapa ura-ura mengenai spesifikasi iPad Pro generasi terbaru ini. Selain daripada paparan OLED generasi baru, ia juga dijangka akan dikuasakan oleh cip pemprosesan Apple M3. Dari segi spesifikasi lain seperti penawaran memori dan storan, ia tidak disahkan lagi buat masa ini.
Dalam pada itu, Ming-chi Kuo mengatakan Apple dijangka akan memperkenalkan iPad Pro sekitar suku kedua tahun ini dan akan meningkatkan lagi jualan peranti iPad khususnya kerana Apple tidak melancarkan sebarang tablet iPad Pro pada tahun lepas.