Cari @ Amanz

Siri Redmi Note 13 adalah peranti kelas pertengahan premium yang anda sudah boleh beli di Malaysia. Terdapat empat model yang ditawarkan iaitu Redmi Note 13 Pro+ 5G, Redmi Note 13 Pro 5G, Redmi Note 13 5G dan Redmi Note 13. Di dalam artikel ini akan saya kongsi ciri menarik yang saya temui pada model Pro+ sepanjang perjalanan di Bangkok bersama Xiaomi Malaysia.

Tiga pilihan warna Redmi Note 13 Pro+ 5G

Kamera 200MP + OIS Paling Murah?

Telefon dengan kamera 200MP sudah diperkenalkan sejak dua tahun lalu. Samsung ada, Xiaomi ada dan realme pun ada. Terbaru, Xiaomi membawakan sokongan kamera ini kepada Redmi pula. Bukan sekadar sensor 200MP Samsung ISOCELL HP3, tetapi turut didatangkan dengan OIS. Ini bermakna ia membantu dalam mengambil gambar yang tidak bergegar, mengambil gambar waktu malam dan berjaya memberikan ciri zum-dalam-sensor.

Aplikasi kamera pada Redmi Note 13 Pro+ 5G ini turut mempunyai persamaan dengan aplikasi pada Xiaomi 13T Pro atau Xiaomi 13 Ultra, jadi ia memberikan kawalan profesional pada peranti yang lebih mampu milik. Butiran 200MP pada peranti dan warna yang dihasilkan, walaupun bukan Leica – ia mempunyai cukup urna!.

Ciri Suntingan Macam Fon Mahal!

Ketika saya bersiar-siar di sekitar The Grand Palace, Bangkok, terdapat banyak bangunan bersejarah yang menarik. Di sini lokasi terbaik untuk menguji ciri Xiaomi ProCut, di mana ia pangkas (crop) gambar 200MP dengan pelbagai nisbah berbeza sambil memastikan subjek berada di tengah dengan memelihara butiran serta memberikan warna terbaik.

Bukan itu sahaja, MIUI 14 Android 13 khusus pada Redmi Note 13 Pro+ 5G ini turut menawarkan akses kepada ciri AI untuk menambah penuras filem atau bingkai filem menjadikan hasil gambar seakan diambil dengan kamera filem vintaj. Ciri AI lain turut disediakan seperti pemadam yang boleh membuang objek di latar seperti yang sedia ditawarkan Google dengan Magic Eraser atau Samsung dengan Object Eraser.

Dolby Vision + Atmos = Hiburan Mengasyikkan

Harga peranti ini bermula dari RM1599 untuk 8/256 GB. Ini adalah harga terbaik dan paling berbaloi untuk mendapatkan peranti dengan kamera 200MP dan perlindungan IP68. Tetapi jika dua ini tidak cukup menentukan nilai yang berbaloi untuk anda, skrin dan speaker pasti akan membuatkan anda berubah fikiran.

Peranti ini menggunakan skrin AMOLED melengkung bersaiz 6.67″, menawarkan kadar segar semula adaptif 120Hz dan menyokong paparan Dolby Vision. Ini menjadikan skrin mempunyai warna yang tajam, sangat terang serta sedap mata memandang. Speaker Atmos turut disokong pada Netflix dan Disney+ Hotstar untuk pengalaman yang lebih mengasyikkan.

Rekaan Mewah Pada Harga Murah

Peranti ini turut menggunakan rekaan yang mewah. Di hadapan ia nampak premium dengan skrin melengkung beresolusi 1.5K, tubuh direka dengan sangat nipis sehingga ia sedap di dalam tangan serta mudah dikendalikan. Panel belakang juga nampak elegan dan kemas dengan dwi-tona warna, bahagian kamera tiada bonggol gergasi tetapi ada corak grid serta boleh dijadikan sebagai cermin untuk viewfinder kamera.

Redmi turut menyediakan kerangka pelindung silikon yang lebih berkualiti kerana ia lebih tebal, berwarna hitam kusam dan selesa di dalam tangan. Tidak seperti kerangka silikon biasa yang lutsinar dan lunyai. Redmi Note 13 Pro+ turut didatangkan dengan IP68 untuk perlindungan kalis air serta debu.

Pengecasan Pantas Sentiasa Dihargai

Sudahlah harga berbaloi, rekaan premium, kamera menarik, skrin mantap, rekaan nipis, tetapi masih boleh memuatkan bateri berkapasiti 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W HyperCharge. Pada Redmi Note 13 Pro+, ia boleh dicas dari 0% ke 100% dalam masa hanya 19 minit.

Tetapi demi kesihatan bateri untuk masa hadapan, mod pengecasan pantas ini dimatikan secara lalai dan perlu aktifkan Boost charging speed untuk menikmatinya. Juga satu ciri yang saya patut bersyukur kerana bukan setiap hari saya ingin peranti saya dicas dalam kadar yang ultra pantas.


Biasanya untuk peranti Redmi, selepas saya selesai uji dan ulas, saya akan simpan dan menggantikan dengan peranti mercu Android pula. Kali ini, walaupun saya sudah pulang ke Malaysia dari Bangkok untuk pelancaran peranti ini dan artikel ulasan serta video yang telah siap – Redmi Note 13 Pro+ 5G masih berada di dalam kocek saya. Dengan harga bermula RM1,599 – pesaing seperti realme atau vivo pasti tersedak!

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd