Amazfit Active Edge di mata saya adalah Amazfit T-Rex versi mampu milik. Ia merupakan penjejak kesihatan yang cuba menjadi jam tangan pintar yang disarung dengan kulit seakan jam G-Shock. Ia direka untuk menjadi ringan, selesa di tangan serta membawakan banyak ciri dan fungsi yang menarik. Selepas menggunakan jam ini untuk hampir sebulan, saya rasakan jam ini adalah salinan G-Shock yang tidak cukup syok.

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Amazfit Active Edge | |
---|---|
Skrin | Skrin sesentuh TFT 1.32″, 360 x 360 |
Pemproses | Tidak disebut |
Memori/Storan | Tidak disebut |
Sistem Operasi | Zepp OS 2.0 |
Perlindungan | 10 ATM |
Sensor | Biometrik BioTracker PPG, giroskop, sistem penentu sejagat 5-satelit |
Lain-Lain | Bluetooth 5.0 Empat butang fizikal |
Bateri | 370mAh, 24 hari |
Bahan Binaan | Plastik TPU Plastik dwi-warna |
Harga | RM599 |
Sekali pandang Amazfit Active Edge ini kelihatan seperti seutas jam G-Shock. Tetapi sebenarnya, jam ini ada keunikannya yang tersendiri. Rekaan ranggi pada jam ini serta kerangka plastik yang tebal mempunyai fungsi untuk melindungi jam apabila pengguna melakukan aktiviti yang lasak. Warna Midnight Pulse dengan binaan plastik dwi-warna ini memberi estetik lutsinar yang nampak bergaya.

Skrin berbentuk bulat bersaiz 1.32″ ini mempunyai bezel nipis, terdapat empat butang fizikal untuk kawalan ke atas dan bawah serta pilih dan kembali. Jam ini boleh digunakan sepenuhnya dengan butang tanpa bergantung kepada skrin sesentuh. Binaan jam juga adalah ringan, menjadikan ia selesa di tangan dan paling menarik adalah plastik TPU pada tali jam tidak membuatkan kulit gatal-gatal.

Jelas di sini rekaan Amazfit Active Edge adalah untuk peminat G-Shock yang inginkan ciri penjejak kesihatan tetapi tidak mahu merindui rekaan jam tahan lasak yang terkenal ini. Jam ini boleh dikatakan mempunyai kualiti bagus dalam kelas tersendiri, tetapi menjadi persoalan adalah ketahanan jangka masa panjang bagaimana?
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Saya menggunakan jam ini untuk beberapa minggu. Sekitar tiga minggu dengan peranti Android dan dua minggu bersama iPhone. Pengalaman saya dengan kedua-dua platform ini lebih kurang sama sahaja. Setiap data yang direkodkan adalah sama, notifikasi yang sela masa juga sama dan prestasi juga tidak ada perbezaan yang jauh pun.

Data tidur berjalan dan senaman ringan tidak begitu tepat jika dibandingkan dengan data pada pada jam Wear OS atau watchOS. Pada awal saya silap kerana membandingkan produk RM600 dengan jam tangan premium yang 2-3 kali ganda lebih mahal harganya. Kemudian saya bandingkan pula dengan data dari Xiaomi Smart Band 8 serta CMF by Nothing Watch Pro, ia berada di tahap yang sama.

Sensor untuk memaparkan muka jam secara automatik ketika tangan diangkat turut beroperasi pada kadar yang agak perlahan. Sentuhan ada sedikit lengah masa tetapi tidak menjadi masalah kerana ada butang fizikal untuk kawalan navigasi. Skrin juga tidak cukup cerah untuk penggunaan di bawah cahaya matahari yang terik. Ini bermakna jam ini tidak sesuai untuk aktiviti di luar dan sesuai di dalam seperti aktiviti rock climbing di District 21 atau Camp5.

Jam nampak tebal kerana ia sememangnya tebal. Saya kerap terlanggar bucu dinding dan meja tetapi ia masih tahan lasak tanpa sebarang kesan kerosakan yang nyata. Kerana ia sangat ringan ia tidak mengganggu jika dipakai ketika tidur. Saya boleh tidur dengan lena dan selesa sepanjang tempoh ulasan. Cuma kebanyakan ciri dan fungsi dalam jam ini masih di tahap jam RTOS atau penjejak kesihatan biasa. Amazfit ada cuba menjadi jam tangan pintar sebenar tetapi tidak begitu meyakinkan.

Pertama adalah jam ini menawarkan gedung aplikasi seperti WearOS atau watchOS. Cuma kebanyakan aplikasi di dalamnya mencurigakan seperti aplikasi kod pengesahan dwi-faktor dengan ikon Google Authenticator tetapi bukan yang asli. Ini bermakna, penggunaan produk ekosistem Amazfit dan Zepp belum cukup meluas untuk pembangun popular menawarkan aplikasi mereka.

BATERI
Menggunakan jam seperti ini saya tidak pernah hiraukan ketahanan bateri selain ingin membuktikan dakwaan pengeluar. Amazfit mendakwa ia mampu bertahan sehingga 24 hari dengan mod penjimatan bateri dan sekitar 10 hari penggunaan berat. Dalam penggunaan saya yang tidak begitu ringan dan tidak begitu berat, saya boleh terima sekitar 14 hari.

Pengecasan menggunakan kabel magnetik sendiri agak perlahan iaitu mencapai dua jam untuk bateri yang bersaiz hanya 370mAh. Jika Amazfit memberi pengecasan pantas atau pengecasan nirwayar Qi, jam ini akan mempunyai nilai tambahan yang berbaloi untuk dimiliki.
APLIKASI
Selepas menggunakan CMF by Nothing Watch Pro dengan aplikasi CMF Watch mereka, sukar untuk saya maafkan jenama lain yang sudah berpengalaman bertahun dalam pembangunan produk kategori yang sama. Nothing yang baru berusia 3 tahun ini boleh hadir dengan aplikasi yang paling masuk akal, ringkas, ada gedung muka jam, ada aplikasi pemetaan dan semua tetapan sistem. Aplikasi Zepp untuk Amazfit Active Edge pula masih lebih kurang sama sejak sebelum nama Zepp digunakan. Seperti tiada usaha memberikan inovasi kepada pengguna untuk sekian lama.

Aplikasi sedikit mengelirukan, tetapan tidak tersusun dan prestasi pada iOS atau Android adalah lebih kurang sama dengan ia menjadi perlahan secara rawak. Saya turut tidak menggemari banyak aplikasi menarik perlu dibayar sedangkan ia patut disertakan sekali. Bukan itu sahaja, proses memuat turun muka jam dari aplikasi ke jam juga mengambil masa yang sedikit lama. Perkara sama ketika cuba mengemaskini perisian.

Paparan pelbagai data seperti skor tidur, tapak perjalanan dan nadi walau bagaimanapun cukup cemerlang. Amazfit membentangkannya dalam carta berwarna dan grafik yang mudah difahami serta menggunakan ikonografi standard. Ciri pelatih maya Zepp Coach seakan pada Samsung Galaxy Watch6 Classic adalah dihargai, tetapi penggunaannya sedikit leceh dan sedikit mengelirukan.
APA ADA DALAM KOTAK?
Dengan setiap pembelian Xiaomi Watch 2 Pro, anda akan menerima;
- 1x Amazfit Active Edge, dengan tali jam terbina.
- 1x Kabel pengecas dermaga magnetik.
- 1x Set buku manual dan keselamatan.

KESIMPULAN
Selepas Xiaomi, jam tangan pintar asas yang saya suka adalah Amazfit kerana cuba membawakan ciri dan fungsi menarik pada harga mampu milik. Amazfit Active Edge ini cuba menjadi jam tangan pintar sebenar dengan mesej boleh dibalas, gedung aplikasi serta kawalan kamera dan banyak lagi – Active Edge layak menjadi alternatif Wear OS dan watchOS.

Cuma rekaan dan binaan mirip G-Shock yang kurang syok ini menjadikannya kelihatan seakan jam murahan. Jika diberi masa mungkin 2-3 tahun lagi saya tidak terkejut jika melihat Zepp OS boleh menjadi pesaing sebenar kepada Google, Apple dan Samsung.
PRO DAN KELEBIHAN
- Rekaan yang menarik untuk jam tangan pintar.
- Cubaan menjadi jam tangan pintar sebenar dengan gedung aplikasi.
- Prestasi yang menarik dan mudah digunakan.
- Sensor yang baik untuk merekodkan data kesihatan.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Skrin tidak cukup terang untuk penggunaan di luar.
- Aplikasi menarik banyak mencurigakan.
- Aplikasi Zepp masih berserabut dan mengelirukan.
- Resolusi jam tidak begitu jelas.
