Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming ataupun produktiviti pada awal tahun ini, MSI Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka sedang mengadakan promosi jualan komputer riba bersempena Tahun Baru Cina.
Bermula dari 15 Januari sehingga 31 Januari 2024, MSI Malaysia akan hadir dengan diskaun dan rebat harga untuk sejumlah komputer riba gaming dan produktiviti mereka, termasuklah MSI Raider GE86HX yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Core i9-13980HX dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 pada harga RM14,111 iaitu pengurangan RM888 berbanding harga asalnya.
Komputer-komputer lain termasuklah MSI Pulse 17 dengan Intel Core i9-13900H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 pada harga RM8699 dan MSI Cyborg 15 yang dikuasakan Intel Core i5-12450H dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 pada harga RM 4399.
Jika anda mencari sebuah komputer riba produktiviti pula, diantara penawaran yang diperlihatkan pula termasuklah MSI Summit E14 Evo dengan cip pemprosesan Intel Core i5-1240p, memori 16GB dan storan SSD 512GB ditawarkan pada harga RM4999. Untuk sesuatu yang lebih mampu milik, MSI Modern 14 dengan cip pemprosesan Intel Core i3-1215U dengan 8GB memori dan storan SSD 512GB boleh dibeli pada harga sangat mampu milik RM2199.
MSI Malaysia mengatakan bahawa senarai penuh komputer-komputer yang ditawarkan diskaun dan rebat ini boleh dilihat di laman web mereka dan sekiranya anda berminat untuk melihat dan menguji sendiri komputer-komputer ini terlebih dahulu, anda boleh ke kedai fizikal MSI Malaysia di Plaza Low Yat dan juga BB Park.