Perkhidmatan kecerdasan buatan Microsoft CoPilot diperkenalkan di kebanyakan, jika tidak kesemua penawaran perisian Microsoft dari sistem operasi Windows 11 ke Microsoft Teams dan juga Microsoft Office untuk membantu pengguna menjadikan pengalaman produktiviti mereka lebih cekap.
Pada tahun ini, AMD dan Intel dilihat akan memperkenalkan komponen cip kecerdasan buatan (NPU) terbina didalam komputer riba untuk menjadikan perkhidmatan kecerdasan ini lebih baik lagi berbanding sebelum ini. Dengan penggunaan cip NPU terbina ini, pengguna boleh memanfaatkan kuasa perkomputeran sedia dan tidak lagi perlu menunggu input daripada bahagian mesin pelayan.
Walaupun begitu, pihak Microsoft baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa untuk menggunakan dan memanfaatkan fungsi CoPilot terbina dengan sebaiknya, selain daripada cip-cip pemprosesan AMD dan Intel dengan cip NPU terbina, komputer-komputer riba juga memerlukan sekurang-kurangnya memori sebanyak 16GB.
Keperluan memori 16GB ini bukan sahaja untuk pemprosesan sistem kecerdasan buatan terbina, tetapi juga untuk perkhidmatan kecerdasan buatan atas talian. Laporan TrendForce tidak mengatakan mengapa jumlah memori ini ditetapkan, tetapi seperti sedia maklum, teknologi kecerdasan buatan memerlukan memori pantas yang banyak sekali.
Ia dijangka bahawa semakin banyak komputer-komputer riba yang dijual pada tahun ini akan hadir dengan penawaran memori sekurang-kurangnya 16GB DDR4/DDR5 untuk menampung penggunaan teknologi kecerdasan buatan ini, dan mungkin akan menyebabkan memori untuk stabil pada tanda harga yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Microsoft baru-baru ini telah memperkenalkan langganan CoPilot Pro dengan akses kepada model kecerdasan buatan GPT-4 terbaru dan memperlihatkan butang khusus untuk CoPilot di papan kekunci komputer riba.