Carian
Ulasan Corsair K70 Core RGB – Kurang Meyakinkan
February 7, 2024 Fahim Zahar

Di pejabat, saya biasanya menggunakan papan kekunci yang berharga RM700 ke atas untuk kerja-kerja menaip. Papan kekunci mekanikal tersuai yang saya gunakan sesuai untuk kedua-dua permainan video dan juga menaip artikel. Terbaru saya menguji Corsair K70 Core RGB, papan kekunci mekanikal khusus untuk gaming dan ia berada dalam kategori kelas pertengahan.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

SaizPenuh
Berat1.199 KG
Hot-SwapYa
RGBYa
Suis KekunciRed
Jumlah Kekunci104
Key RolloverYa, Penuh, 100% Anti-Ghosting
Tombol BerputarYa
SambunganUSB-A atau USB-C
PerisianWindows, macOS
iCUE
HargaRM499

Corsair K70 Core RGB adalah papan kekunci gaming biasa sahaja. Ia tidak menawarkan sebarang ciri yang unik atau istimewa, rekaan juga sudah biasa dilihat, binaan juga ringan dan rasa murah, tetapi dijual pada harga RM499. Untuk papan kekunci gaming asas, harga ini sebenarnya agak tinggi berbanding jenama lain. Kelebihan K70 di sini adakah ia menggunakan saiz penuh dengan 104 kekunci dan boleh menyokong ciri hot swap suis sekiranya diperlukan.

Terdapat beberapa elemen tambahan yang cuba memberi justifikasi kepada harga jualan, antaranya adalah tombol berputar yang sedap digunakan, butang iCUE khas, dan di mata saya papan kekunci ini antara yang menggunakan sistem RGB yang sangat terang.

Saya terdapat sedikit kerisauan ketika menggunakan papan kekunci ini. Ini kerana saya ada pengguna yang agak lasak, bila rasa marah saya akan tekan-tekan dengan kuat atau kadangkala menghentak papan kekunci. Dengan K70 dibina dengan plastik yang mudah lentur, sangat ringan dan kabel juga dilihat biasa sahaja – saya secara tidak langsung berubah menjadi pengguna yang lebih berhemah.

Agak mengecewakan yang di dalam kotak, kabel yang sedia terbina pada papan kekunci ini masih menggunakan USB-A bukannya USB-C iaitu sambungan universal yang semua gunakan sekarang. Jenama lebih kecil berbanding mereka seperti Keychron turut boleh memberikan kabel USB-C pada harga yang lebih murah.

PENGGUNAAN

Penggunaan saya adalah sangat tidak selesa. Sepanjang berbulan penggunaan untuk cuba membiasakan diri juga, saya sukar untuk menerima penawaran Corsair pada K70 Core RGB ini. Kabel USB-A yang menyamar kononnya ada penyesuai USB-C, binaan yang sangat ringan sehingga papan kekunci kerap bergerak ke sana dan ke sini, serta susun atur yang sangat rapat menyebabkan posisi K70 ini ini tidak berada di tengah untuk keselesaan saya menaip sepanjang hari.

Kerja-kerja menaip pada awalnya terasa sangat lancar, pantas dan sedap. Suis Red pada mana-mana papan kekunci mekanikal adalah kegemaran saya kerana ia adalah jenis linear yang sesuai untuk kerja-kerja menaip. Tetapi K7 Core RGB, terasa terlampau lembut sehingga saya kerap tertekan kekunci sama dua kali. Walaupun kadar menaip saya lebih pantas dengan K70, kadar salah ejaan saya pun meningkat.

Papan kekunci ini turut dipadankan dengan lampu RGB yang sangat terang. Ia boleh dikawal dengan iCUE, perisian khas untuk Mac dan Windows. Saya teruja dengan RGB Corsair ini, kerana disiang hari saya masih boleh nampak nyalaan setiap kekunci dengan jelas tidak seperti papan kekunci Razer yang lebih mahal.

Corsaiz K70 Core RGB adalah papan kekunci yang cukup selesa. Cuma susun atur dan rekaan harus diperbaiki untuk ia lebih efisien dan sesuai dengan orang ramai. Masalah kekunci yang tertekan dua kali ada dua; pertama adalah suis Red memang jenis untuk permainan video dan menaip laju jadi masalah tertekan memang dijangka akan berlaku. Kedua adalah pelincir yang digunakan dari kilang tidak disapu rata pada setiap suis.

APLIKASI iCUE

Saya masih tidak faham kenapa syarikat pengeluar barangan gaming, boleh merekabentuk produk mereka dengan baik tetapi rekaan antaramuka perisian seakan tiada idea langsung. Perisian iCUE oleh Corsair sama sahaja dengan Razer di mana ia serabut, memeningkan, dan kerap terputus sambungan dengan produk. Paling cantik dan mudah digunakan setakat ini adalah Logi Options+ yang ringkas dan mesra pengguna.

KESIMPULAN

Untuk diri saya yang meminati suis merah jenis linear, Corsaiz K70 Core RGB bukanlah untuk saya kerana suis yang digunakan terlampau lembut dan pantas. ia bagus jika 100% saya gunakan papan kekunci ini untuk permainan sahaja. Tetapi memandangkan saya juga menggunakannya untuk menaip artikel, saya terpaksa memilih papan kekunci tersuai saya.

Harga jualan RM499, ia sebenarnya tidak begitu mahal dan berada dalam kategori mampu milik. Jika anda katakan anda boleh dapatkan papan kekunci tersuai pada harga lebih murah, adakah ia sama saiz penuh dan boleh hot-swap? Nasihat saya, jika bajet anda bawah RM500 dan ingin terus menggunakan papan kekunci tanpa pening kepala – K70 Core RGB adalah yang terbaik untuk anda. Jika masih inginkan papan kekunci tersuai, berjinak-jinak dahulu dengan ciri hot-swap pada Corsair sebelum berbelanja 3-4 kali ganda daripada RM499.

PRO

  • Lengkap dengan banyak ciri dan fungsi menarik.
  • Lampu RGB yang sangat terang.
  • Kekunci dengan binaan yang sedap ditekan.
  • Perisian yang membantu melengkapkan lagi pengalaman penggunaan.
  • Menyokong hot-swap untuk suis.

KONTRA

  • Kekunci terlampau lembut sehingga banyak kali satu huruf tertekan dua kali.
  • Perisian iCUE membantu tetapi sangat mengelirukan.
  • Binaan yang ringan dan tidak padan dengan harga jualan.
  • Masih bergantung USB-A, bukan USB-C atau Nirwayar.
Komen