Adakah gabungan teknologi dan fesyen boleh menjadi fenomena yang menarik? Jawapannya mungkin ya, memandangkan terdapatnya sepasang lagi fon telinga baharu dengan rekaan unik seakan subang telah dilancarkan.
Dinamakan sebagai Bose Ultra Open Earbuds, ia dihasilkan secara eksklusif dengan kerjasama jenama fesyen Kith dan disediakan dalam kuantiti terhad. Pada kebiasaannya fon telinga ini dapat membantu pengguna untuk peka terhadap keadaan sekeliling meskipun sedang mendengar muzik. Begitu juga dengan Bose Ultra Open Earbuds yang juga mempunyai tujuan yang sama.
Fon telinga ini menggunakan rekaan unik yang nampak seperti subang apabila digunakan di telinga. Diikuti juga kemasan berkilat dalam warna hitam pusam yang direka bersama oleh kedua-dua jenama tersebut. Setiap fon telinga dan pod pengecas juga dihiasi dengan logo Kith dengan font diubah suai yang menyerupai penjenamaan Bose.
Namun perhatian kini tertumpu pula kepada butiran spesifikasi yang tidak didedahkan secara khusus. Sebaliknya hanya diiklankan boleh digunakan dengan selesa, menyokong perisian OpenAudio Bose, teknologi Bose Immersive Audio untuk sokongan spatial audio dan masa penggunaan 7.5 jam dengan sekali caj.
Ia akan disediakan secara rasmi pada 22 Januari 2024 dengan harga $300 (~RM1,413.60) sepasang.
- Sumber – Kith for Bose