Di acara CES 2024 yang berlangsung di Las Vegas baru-baru ini, ASUS telah melancarkan sejumlah siri komputer riba baharu yang menggunakan cip-cip pemprosesan baru yang dilancarkan oleh AMD dan juga Intel.

Salah satu model komputer riba lebih unik yang diperlihatkan di acara CES, dan akan dibawa masuk ke Malaysia tidak lama lagi ialah ASUS ZenBook DUO, komputer riba dwi skrin terbaru mereka yang tampil dengan dua paparan yang memenuhi permukaan komputer riba tersebut.
Rekaan
Secara teknikalnya, ia boleh dikatakan bahawa ASUS adalah diantara pelopor konsep menggunakan dua skrin pada satu peranti dengan komputer-komputer riba mereka sebelum ini seperti ASUS ZenBook Pro Duo yang tampil dengan skrin kedua yang boleh dimafaatkan untuk tujuan menu tambahan pada perisian produktiviti, memberi pengguna lebih banyak ruang di paparan utama.

Dengan ASUS ZenBook DUO, ASUS kini mempunyai komputer riba dwi-skrin penuh pertama di arus perdana, menjadikan komputer Project Precog yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2018 sebagai sebuah realiti.

ASUS ZenBook DUO tampil dengan dua paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2880 x 1800 pada nisbah paparan 16:10, kadar segar semula 120Hz dan juga nilai kecerahan paparan 500 nits yang boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Seperti sebuah lagi komputer riba dwi-skrin, iaitu Lenovo Yoga Book 9i, komputer riba ini juga memperlihatkan sebuah papan kekunci Bluetooth yang boleh dicabut atau dipasang diatas bahagian paparan skrin kedua dan digunakan sebagai sebuah komputer riba tradisional.

Dari segi pilihan palam, komputer riba ini dimuatkan dengan satu palam USB 3.2 Type-A, dua palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan sebagai palam kuasa, satu palam HDMI 2.1 TMDS dan satu palam audio 3.5mm.

Apa yang menarik lagi mengenai komputer riba ini ialah ia hadir dengan rekaan yang bukan sahaja ringan, tetapi juga nipis. Dengan berat 1.65kg dan ketebalan peranti 20mm apabila ditutup, ASUS ZenBook DUO ini adalah sebuah komputer riba yang boleh dibawa kemana-mana sahaja dengan mudah.
Rekaan dwi-skrin ASUS ZenBook DUO ini juga boleh dimanfaatkan dengan pelbagai cara, bergantung kepada keperluan anda pada waktu tersebut. Hanya mahu menggunakan satu skrin? Papan kekunci Bluetooth boleh diletakkan diatas skrin bawah.

Mahukan skrin yang lebih tinggi? Komputer riba ini boleh diletakkan secara meninggi di bahagian sisi, dan paparannya akan bertukar menurut orientasi yang ditetapkan. Mahu menggunakan kedua-dua skrin secara mendatar? Tiada masalah disitu juga.

Satu perkara yang kami perasan pada komputer riba ini juga ialah sekiranya ia ditutup tanpa meletakkan papan kekunci diatas paparan kedua, sebuah ruangan yang besar dapat diperlihatkan yang akan ditutup dengan papan kekunci tersebut.
Spesifikasi
ASUS ZenBook Duo juga merupakan diantara komputer riba yang akan tiba di pasaran kelak yang menggunakan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake. Malah, untuk pasaran tempatan, ia telah disahkan bahawa ASUS akan membawa masuk dua model yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 155H dan Intel Core Ultra 9 185H dengan 32GB memori DDR5 dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Dari segi cip pemprosesan grafik, ASUS ZenBook DUO dilihat hadir dengan cip grafik Intel Arc terbina, yang merupakan cip grafik lebih berkuasa berbanding dengan penawaran sebelumnya, tetapi juga hadir dengan kecekapan dari segi penggunaan kuasa untuk memastikan komputer riba ini hadir dengan jangkahayat bateri yang lebih lama.
Satu keunikan yang dapat daripada penggunaan cip pemprosesan Intel Meteor Lake ini ialah jika anda lihat pada perisian Task Manager ialah kehadiran fungsi NPU. Ia merupakan sebuah teras yang digunakan khusus untuk memproses tugasan-tugasan kecerdasan buatan seperti Co-Pilot dan pelbagai jenis proses seakan dengannya, khususnya untuk tugasan kecerdasan buatan yang memerlukan pemproses dalam peranti.

Dalam pada itu, penawaran memori DDR5 32GB pada komputer riba ini juga bukanlah satu kebetulan. Microsoft baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa sesebuah komputer perlu dilengkapi dengan memori 16GB untuk memanfaatkan perisian CoPilot sebaik yang mungkin.
Penutup

ASUS ZenBook DUO merupakan diantara komputer riba pertama yang tampil menggunakan ASUS Malaysia telah memberitahu kami bahawa dua penawaran model ASUS ZenBook DUO ini, yang terdiri daripada Intel Core Ultra 9 dan Intel Core Ultra 7 akan memasuki pasaran tempatan pada bulan Februari kelak pada harga permulaan RM9999.