Cari @ Amanz

Apple Vision Pro kini boleh dipesan di Amerika Syarikat dengan ia akan mula dijual secara terbuka pada 2 Februari depan. Menerusi laman rasmi Apple, pesanan boleh dilakukan ke atas tiga model dengan storan 256GB, 512GB dan 1TB. Proses prapesan dilakukan menerusi laman Apple dan memerlukan imbasan 3D wajah dilakukan menggunakan sistem Face ID pada iPhone dan iPad yang menyokongnya.

Proses melakukan imbasan wajah adalah semudah mengimbas kod QR pada skrin laman sebelum kepala diimbas dari atas atas, bawah, kiri dan kanan. Imbasan ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum beberapa soalan mengenai pemakaian cermin mata atau kanta lekap pula ditanya. Dalam beberapa situasi seperti kuasa cermin mata terlalu tinggi, pesanan tidak boleh diteruskan kerana kanta preskripsi yang diperlukan tidak disokong oleh Vision Pro.

Apple tidak menjual Vision Pro sebagai sebuah set kepala realiti maya atau realiti terimbuh. Sebaliknya memasarkannya sebagai sebuah peranti perkomputeran spatial. Harga jualan Apple Vision Pro di Amerika adalah seperti di bawah.

  1. Apple Vision Pro (256GB) – $3499 (~RM16,494)
  2. Apple Vision Pro (512GB) – $3699 (~RM17,437)
  3. Apple Vision Pro (1TB) – $3899 (~RM18,380)

Pada waktu ini prapesan hanya dibuka kepada pengguna di Amerika Syarikat dengan ura-ura mengatakan ia kemudian akan ke pasaran Eropah. Tidak seperti produk Apple yang lain, Vision Pro hanya akan dijual di negara yang mempunyai Apple Store kerana pembeli perlu menjalani proses ukuran kepala dan pengesahan saiz yang lebih rapi berbanding sekadar imbasan Face ID.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd