Salah satu isu yang menjadi igauan ramai rakyat dan pengguna internet Malaysia adalah melibatkan kebocoran data peribadi. Ia kadang-kala hadir disebabkan oleh kelemahan kepada sesuatu sistem berkenaan yang terdedah pada pelbagai kerentanan. Walaupun ia sukar dikawal, namun salah satu perkara yang boleh dikawal adalah mengawal muat-naik dokumen dan data peribadi ke laman-laman terbuka, seperti Scribd.
Scribd merupakan salah satu laman yang membolehkan pengguna memuat-naik dokumen, dan berkongsi dengan yang lain. Namun, salah satu perkara yang menjadi masalah adalah apabila ramai memuat-naik dokumen peribadi seperti salinan MyKad, data-data pekerja, data-data pelajar – dan menetapkannya sebagai akses terbuka.
Perkara ini telah ditekankan oleh pihak Pendakwah Teknologi beberapa kali, dan semakan kami sendiri mendapati kadar dokumen peribadi yang dimuat-naik ke platform seperti Scribd agak membimbangkan.
Sebagai alternatif kepada platform terbuka, pengguna yang ingin berkongsi sesuatu dokumen bercorak peribadi mungkin boleh memilih alternatif peribadi lain seperti Google Drive dengan tetapan peribadi atau terkawal – dan memadam dokumen yang dikongsikan selepas selesai sesuatu perkara.