Cari @ Amanz

Pentadbir laman penggodam BreachForums, Conor Brian Fitzpatrick terlepas daripada hukuman penjara tetapi akan dipantau oleh pihak berkuasa selama 20 tahun. Beliau telah didapati bersalah menggunakan BreachForums sebagai tempat untuk menjual ratusan juta data pengguna dari Amerika Syarikat, agensi serta jabatan kerajaan serta syarikat yang telah digodam.

Selain didapati bersalah menjalankan BreachForums, Fitzpatrick juga mengaku terlibat dengan konspirasi mengakses peranti bagi tujuan penipuan, menawarkan perkhidmatan mengakses peranti tanpa kebenaran dan memiliki kandungan pornografi bawah umur.

Kerana keseriusan kesalahan beliau, pihak pendakwaraya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara sehingga 188 bulan (hampir 16 tahun) tetapi hakim memberikan keringanan. Beliau dijatuhkan hukuman tahanan di rumah dengan gelang GPS dipasang pada kaki selama dua tahun. Akses kepada internet juga tidak boleh dilakukan pada tahun pertama hukuman. Seterusnya beliau dihalang melakukan sebarang urusan jual beli atas talian kecuali selepas menerima kebenaran oleh mahkamah. Selain itu beliau diarahkan membayar gantirugi kepada mangsa dengan nilai pampasan belum lagi diumumkan.

Selain data pengguna Amerika Syarikat, data daripada beberapa insiden kecurian data pengguna di Malaysia turut telah dijual menerusi BreachForum. Antara yang pernah kami laporkan ialah data 13 juta pengguna Astro, Maybank, dan SPR hampir dua tahun yang lalu. Laman BreachForums telah dirampas oleh pihak berkuasa selepas Fitzpatrick ditangkap.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd