Cari @ Amanz

Sebanyak RM2.5 juta kerugian direkodkan pada tahun 2023 yang dikaitkan dengan kes penipuan di aplikasi sosial. Jumlah itu meliputi sebanyak 494 kes yang melibatkan kes penyamaran sebagai kenalan melalui aplikasi sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook. Malah perkongsian yang sama turut menunjukkan sebanyak 50 kes yang telah dicatatkan dengan kerugian lebih RM200K sehingga minggu lalu, iaitu 20 Januari 2024.

Angka itu berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia melalui kemaskini bertarikh 21 Januari 2024 yang dimuat naik melalui Facebook rasmi. Katanya modus operandi digunakan adalah dengan melakukan penggodaman ke atas akaun telegram/whatsapp milik mangsa, kemudiannya menghubungi senarai rakan di dalam kenalan untuk meminjam wang.

Mangsa dikatakan hanya akan menyedari hal tersebut apabila akaun aplikasi sosialnya tidak dapat diakses. Sehubungan itu, PDRM menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tidak berurusan melalui mesej palsu ini, dalam masa sama turut menekankan mereka untuk melakukan semakan dengan menghubungi kenalan tersebut bagi tujuan pengesahan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd